Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

UBD, MPC jalin kerjasama

Oleh Syahmi Hassan –

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah mengambil langkah penting untuk bekerjasama dan memulakan hubungan kerja dalam pelbagai bidang kepentingan bersama dalam pembangunan kapasiti manusia bagi industri logistik dan pelabuhan dengan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Syarikat Pelabuhan Muara Sdn Bhd (MPC), hari ini.

Majlis penandatanganan berlangsung di Bilik Seminar, Perpustakaan Utama, UBD yang dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif MPC, Zeng Cai Li selaku tetamu kehormat.

Menandatangani bagi pihak UBD ialah Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik), Profesor Madya Pengiran Dr Iskandar bin Pengiran Haji Petra dan MPC diwakili oleh Ketua Pegawai Kewangan, Lyu Guoli.

Menyaksikan majlis penandatanganan perjanjian tersebut ialah Dekan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi UBD (UBDSBE), Dr Masairol bin Haji Masri, dan Pengurus Sumber Manusia MPC, Hajah Azian binti Haji Mohammad.

MoU berfungsi sebagai rangka kerja bagi kedua-dua institusi untuk memanfaatkan kekuatan satu sama lain bagi memajukan usaha akademik, penyelidikan dan teknologi sambil memupuk inovasi, pembangunan dan pertumbuhan bersama.

Ia juga memberikan tumpuan kepada program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) yang ditawarkan di UBDSBE.

Program itu direka bentuk dengan teliti untuk menyediakan pelajar dengan kualiti kepimpinan, set kemahiran termaju, hubungan industri, pengetahuan lanjutan dan pengalaman dunia sebenar.

Kerjasama dengan MPC akan mewujudkan peluang yang akan memberikan manfaat kepada kedua-dua entiti, termasuk latihan industri, lawatan sambil belajar dan latihan, serta penglibatan industri.

MPC ialah syarikat usaha sama antara kerajaan Brunei Darussalam, diwakili oleh Darussalam Assets Sdn Bhd dan Guangxi Beibu Gulf International Port Group Co Ltd melalui Beibu Gulf Holding (HK) Co Ltd.

Profesor Madya Pengiran Dr Iskandar dan Lyu Guoli menandatangani MoU pada majlis penandatanganan yang berlangsung di Bilik Seminar, Perpustakaan Utama, UBD, kelmarin. – Gambar serahan UBD