BANGLADESH, 25 OKT – Hampir 275,000 penduduk di Bangladesh melarikan diri ke tempat perlindungan hari ini ketika Taufan Hamoon melanda pantai tenggara, membunuh sekurang-kurangnya dua orang, kata pegawai.
Hamoon ialah ribut besar terbaharu yang melanda pantai Bangladesh, dengan negara Asia Selatan berkedudukan rendah itu menyaksikan peningkatan kejadian cuaca buruk apabila perubahan iklim membawa ribut yang lebih besar dan lebih kuat.
Talian elektrik terputus dan hujan lebat melanda perkampungan pantai dan pulau-pulau, tetapi tiada laporan mengenai kerosakan besar yang meluas, beritahu Kamrul Hasan, Se-tiausaha Kementerian Pengurusan Bencana, kepada AFP.
“Kami memindahkan 273,352 orang ke pusat perlindungan siklon,” kata Hasan sambil menambah dua orang maut, seorang dihimpit oleh pokok yang tumbang dan seorang lagi apabila maut apabila sebuah bangunan runtuh.
“Sekurang-kurangnya 10 orang cedera dan sedang dirawat di hospital,” katanya.
Pakar Jabatan Meteorologi Bangladesh, Muhammad Abul Kalam Mallik berkata Hamoon mendarat di daerah pantai Chittagong dan Cox’s Bazar awal hari ini, dengan kelajuan angin mencecah 104 kilometer sejam.
“Kemungkinan besar ia akan bergerak ke pedalaman dan menjadi lemah secara beransur-ansur,” kata Mallik.
Pantai tenggara Bangladesh adalah tempat tinggal kepada hampir satu juta pelarian Rohingya yang melarikan diri dari Myanmar dan tinggal dalam pondok tarpaulin yang usang, tetapi Hasan berkata bahawa kem pelarian tersebut tidak terletak dalam laluan utama taufan.
Daerah Cox’s Bazar terputus bekalan elektrik kelmarin dan pegawai daerah tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan maklumat mengenai sebarang kerosakan yang berlaku. – AFP