HANOI, 25 OKT – Nilai eksport durian Vietnam mencecah AS$1.65 bilion dalam sembilan bulan pertama tahun 2023, menjadikan durian sebagai penyumbang mata wang asing terbesar di Vietnam dalam industri buah-buahan dan sayur-sayuran, lapor agensi berita Vietnam, hari ini.
Laporan menyatakan angka tersebut 14 kali ganda lebih tinggi berbanding angka pada tempoh yang sama tahun lalu, menurut Jabatan Am Kastam.
Durian memintas buah nangka, buah naga, tembikai, pisang dan laici untuk berada di kedudukan teratas, mewakili 38.7 peratus jumlah keseluruhan nilai eksport industri tersebut.
China ketika ini pasaran eksport utama durian Vietnam. Vietnam mempunyai 422 kawasan penanaman dan 153 kemudahan pembungkusan yang layak mengeksport buah ke China.
Menurut Jabatan Am Kastam, eksport buah-buahan dan sayur-sayuran Vietnam dalam tempoh sembilan bulan pertama mencecah AS$4.21 bilion, meningkat 72.5 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.- Xinhua