Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OKT – Landskap pendidikan tinggi di Negara Brunei Darussalam sedang melalui sebuah transformasi di tengah-tengah ketidaktentuan
global.
Dengan melengkapkan pelajar-pelajar bersama kemahiran yang diperlukan, memupuk pemikiran keusahawanan, mempromosikan kewarganegaraan global dan menerima pembelajaran sepanjang hayat, kita dapat memperkasakan mereka untuk menjadi pemimpin dan penjana perubahan hari esok.
Kesimpulan itu dikongsi oleh Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad dalam ucaptama semasa Forum Presiden Universiti (UPF) ke-2 Universiti Teknologi Brunei (UTB) yang berlangsung di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin.
Dalam sesi pertama forum berkenaan, Dr Haji Azman membentangkan ucaptama mengenai landskap pendidikan tinggi di Negara Brunei Darussalam.
Beliau menyatakan dalam mengemudi dunia yang pesat berubah, adalah mustahak bagi kita untuk menyesuaikan diri dan berinovasi untuk menghadapi cabaran-cabaran serta peluang-peluang yang hadir.
Dalam hubungan itu, pendidikan tinggi telah lama dipandang sebagai tunggak perkembangan masyarakat dan pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, tambah beliau.
Sesi pertama forum berkenaan juga mengetengahkan ucaptama daripada Naib Canselor UTB, Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman bertajuk Zero to hero: A Case for UTB dan ucaptama daripada Naib Canselor UCSI University, Malaysia, Profesor Datuk Ir Ts Dr Siti Hamisah binti Tapsir bertajuk Higher Education Milestones: Redesigning Higher Education.
Sesi kedua pula mendalami topik Rethinking Higher Education Initiatves di mana ia mengetengahkan pembentangan dua ucaptama daripada Presiden Samar State University, Filipina, Profesor Dr Marilyn Cardoso bertajuk Shaping Tomorrow’s Academia: The Nexus of Higher Education in Industry 4.0, SDGs and the VUCA World serta Rektor Universitas Brawijaya, Indonesia, Profesor Widodo bertajuk The Future of AI and Challenge for Higher Education.
Acara itu juga menyaksikan sesi panel yang mengetengahkan pembentang-pembentang yang dihormati iaitu Naib Presiden Shibaura Institute of Technology, Profesor Dr Akito Takasi bertajuk Ten Years of Shibaura Institute of Technology; Naib Canselor Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr Hazri bin Haji Kifle bertajuk Futuring Together: UBD’s Progressive Approach to Education and Technology Modalities dan Canselor Mindanoa State University-Iligan Institute of Technology, Profesor Atty.
Alizedney M Ditucalan bertajuk Future-Proofing Universities: The Role of the University in the Age of Industry 5.0 and Society 5.0.
Forum berakhir dengan sesi terakhir bertajuk Higher Education Way Forward / Future Directions yang dikendalikan bersama oleh Penolong Naib Canselor (Pelajar, Alumni dan Perkhidmatan), UTB, Dr Au Thien Wan dan Penolong Profesor Kanan, Pusat bagi Komunikasi, Pengajaran dan Pembelajaran (CCTL), UTB, Dr Nena Padilla-Valdez.
Sesi itu menyaksikan para peserta forum berinteraksi secara aktif dengan pembentang-pembentang bagi menangani cabaran-cabaran yang datang daripada landskap global yang berubah.
Forum yang membawa tema Rethinking Education Amidst Global Uncertainties itu merupakan salah satu acara utama semasa UTB Science, Technology and Engineering (UTB-STE) Connect 2023.
Ia menyediakan platform bagi para peserta untuk berinteraksi dengan penceramah-penceramah bagi menangani cabaran-cabaran alam sekitar, teknologi, masyarakat, ekonomi dan landskap global geopolitik baru yang dihuraikan dalam World Economic Forum (WEF) 2023 yang melaporkan cabaran dan risiko utama yang mengancam masa depan global.
Di samping itu, ia juga mencerminkan pencapaian, inisiatif dan hala tuju ke hadapan pendidikan tinggi seperti yang diilhamkan oleh pejuang dan pemain utama dalam memajukan kepentingan manusia, memenuhi matlamat masyarakat serta menjadikan komuniti tempat yang lebih baik untuk hidup dan bekerja.