RAFAH, 25 OKT – Serangan udara oleh Israel ke atas Semenanjung Gaza kelmarin meranapkan rumah-rumah kediaman dan membunuh keluarga-keluarga yang berada di dalamnya.
Pegawai kesihatan mengatakan bahawa ratusan rakyat Palestin telah terbunuh sehari yang lalu dan kemudahan perubatan terpaksa ditutup disebabkan kerosakan akibat bom dan kekurangan bekalan elektrik.
Pengeboman udara besar-besaran berterusan sepanjang malam ketika jet Israel membedil lokasi di seluruh Gaza, kata Kementerian Dalam Negeri yang dikendali Hamas.
Jumlah kematian yang meningkat secara mendadak akibat serangan bom adalah perkara yang belum pernah berlaku sebelum ini dalam konflik Israel dan Palestin yang berlangsung puluhan tahun.
Ia menandakan kehilangan nyawa yang lebih besar di Gaza apabila tentera Israel menggunakan kereta kebal dan artileri melancarkan serangan darat untuk menghapuskan pejuang Hamas.
Seramai 2.3 juta rakyat Gaza telah kehabisan makanan, air dan ubat-ubatan sejak Israel menutup kawasan itu berikutan serangan pada 7 Oktober oleh Hamas ke atas bandar-bandar di selatan Israel.
Kementerian Kesihatan Gaza, yang dikendalikan oleh Hamas, berkata serangan udara Israel membunuh sekurang-kurangnya 704 orang sejak semalam, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
The Associated Press tidak dapat mengesahkan secara bebas jumlah kematian yang dipetik oleh Hamas, yang mengatakan ia mengumpul angka daripada pengarah hospital.
Israel mengumumkan kelmarin bahawa mereka telah melancarkan 400 serangan udara pada hari sebelumnya.
Serangan itu telah membunuh beberapa komander Hamas, mencederakan pejuang yang bersiap sedia untuk menembak roket ke Israel serta memusnahkan pusat-pusat komando dan terowong Hamas. Israel juga melaporkan 320 serangan pada hari sebelumnya. – AP