Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OKT – Universiti Brunei Darussalam (UBD) terus menunjukkan komitmennya terhadap penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) Generatif yang bertanggungjawab dan berkesan apabila lebih daripada 60 kakitangan pentadbiran menyertai bengkel bertajuk Harnessing Generative AI for Enhanced Productivity, baru-baru ini.
Bengkel transformatif yang diketuai oleh Profesor Madya Dr Mohamad Tazli Azizan itu dianjurkan dengan kerjasama Pusat Pengajaran dan Pembelajaran (TLC) UBD dan Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat (C3L).
Ia menyediakan peserta dengan pandangan berharga tentang aplikasi dan faedah AI Generatif.
Melalui latihan langsung dan sesi interaktif, para peserta belajar cara memanfaatkan kuasa AI untuk menyelaraskan tugas, meningkatkan kecekapan dan merangsang inovasi.
Menurut UBD, dalam kenyataan yang dikeluarkan, alat AI Generatif mempunyai potensi besar untuk merevolusikan proses pendidikan, menawarkan keupayaan untuk menyesuaikan pengalaman pembelajaran untuk pelajar dan memupuk pemerolehan kemahiran pengajaran dan pembelajaran moden.
Kenyataan menyatakan, UBD berada di barisan hadapan penggunaan AI dalam pendidikan.
Universiti berkenaan baru-baru ini telah menerbitkan buku Policy & Guidelines on Generative Artificial Intelligence (GenAI) yang komprehensif untuk memastikan penggunaan AI yang beretika dan bertanggungjawab dalam pengajaran dan pembelajaran.
Dasar yang terkandung di dalamnya menyediakan arahan yang jelas untuk pendidik dan pelajar, menangani dilema etika dan kebimbangan privasi.