Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Ubat tercemar penyebab buta

LAHORE, 27 SEPT – Puluhan pesakit diabetes di Pakistan mengalami kehilangan penglihatan selepas diberi ubat yang tercemar, kata seorang pegawai kesihatan wilayah kelmarin.

Dua dalang di sebalik pembekalan ubat itu, Avastin, telah ditahan dan 12 pegawai pemeriksa kerajaan digantung tugas selepas siasatan mendapati ubat itu dibungkus dalam persekitaran yang tidak bersih, menurut polis dan pihak berkuasa kesihatan.

“Setakat ini, suntikan itu telah menjejaskan penglihatan 68 pesakit di Punjab,” kata jurucakap jabatan kesihatan wilayah itu, yang enggan namanya disiarkan.

Sekurang-kurangnya 12 orang telah dilaporkan buta sepenuhnya.

“Kami hanya akan dapat menilai sejauh mana kemudaratan yang dilakukan oleh suntikan itu sebaik sahaja jangkitan dirawat sepenuhnya,” tambah jurucakap itu.

Avastin, yang dibekalkan oleh syarikat farmaseutikal Switzerland, Roche, biasanya digunakan untuk rawatan kanser, namun ia diberikan tanpa label di Pakistan kepada pesakit diabetes untuk menghalang pertumbuhan saluran abnormal dalam mata.

Ia didatangkan dalam dos 100mg, tetapi ia dibahagikan dan dibungkus semula secara domestik kepada dos yang lebih kecil sebagai pilihan kos rendah untuk merawat keadaan mata tertentu. – AFP

Ubat yang diberikan kepada pesakit diabetis di Pakistan. – Agensi