Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 SEPT – Dalam usaha membudayakan masyarakat membaca, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Perpustakaan mengungkayahkan Sidang Kemuncak Galakan Budaya Membaca 2023 di Balai Sarmayuda, DBP Berakas, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Kebudayaan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan.
Sidang kemuncak yang turut disiarkan langsung menerusi media sosial Facebook dan YouTube Perpustakaan DBP itu telah dipengerusikan oleh Pemangku Timbalan Pengarah DBP, Hajah Annisa binti Haji Moksin.
Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab dalam ucapan alu-aluannya antara lain berkata, ilmu pengetahuan menjadi antara kunci utama kepada pembangunan tamadun bangsa.
Oleh itu, DBP semakin giat mendayaupayakan usaha dalam meningkatkan ilmu pengetahuan masyarakat dengan mempelbagaikan corak program dan kegiatan yang mampu memangkin masyarakat untuk terus suka membaca dan secara tidak langsung turut memperkasakan bahasa Melayu.
Dengan mengangkat tema ‘Brunei Membaca’, yang bermula pada 8 Ogos hingga 12 September lalu, sebanyak 11 buah kertas kerja telah dibentangkan di mana perbincangan mencakupi pelbagai perspektif dalam menggalakkan dan memupuk budaya membaca.
Dalam pada itu, pembentangan ucaptama bertajuk ‘Membaca Memelihara Maqasid Syariah’ disampaikan oleh Profesor Adjung Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr Haji Mohammad Rozan bin Dato Paduka Haji Mohammad Yunos.
Beliau menyentuh mengenai membaca sebagai terapi (biblioterapi) yang banyak memberikan impak positif kepada minda pembacanya, dengan mengajar kemahiran baharu, membawa mereka ke dunia yang berbeza, malah menyediakan alat yang berguna kepada ahli terapi untuk digunakan bersama pesakit.
Sidang kemuncak diakhiri dengan ucapan pembentangan resolusi yang disampaikan oleh Ketua Perpustakaan Universiti Islam Sultan Sharif Ali selaku Ketua Pelapor (Rapporteur), Dayang Norhasinah binti Haji Moksin dan seterusnya penyerahan resolusi oleh ketua pelapor kepada Yang Berhormat Dato.