Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – Jabatan Kemajuan Pelancongan akan mengadakan Green Horizons: Tourism & Sustainable Investments Exhibition di Galeri Kebudayaan dan Pelancongan Kampong Ayer bermula 30 September hingga 7 Oktober depan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, pameran bakal menawarkan platform kepada agensi-agensi yang dedikasi terhadap inisiatif-inisiatif kemampanan yang memberikan manfaat kepada alam sekitar dan meningkatkan komuniti setempat.
Ia akan diadakan bersempena Hari Pelancongan Sedunia, yang diraikan setiap 27 September.
United Nations World Tourism Organization (UNWTO) telah memilih Pelancongan dan Pelaburan Hijau sebagai tema utama pada tahun ini.
Acara bertujuan untuk mentakrifkan semula pelaburan pelancongan selepas pandemik COVID-19 dengan tumpuan khusus pada tiga keutamaan iaitu rakyat, planet dan kemakmuran.
Dalam pada itu pameran berkenaan berfungsi sebagai tindak balas langsung terhadap keutamaan berkenaan, yang mengumpulkan sembilan agensi atau kumpulan yang menjadi contoh bagi komitmen mereka terhadap kelestarian alam sekitar, kesejahteraan masyarakat dan kemakmuran ekonomi.
Mereka terdiri daripada Eco Ponies Garden, Atmosphere BN, Reef Check Brunei, Travel Hub, Hotel Radisson, Mori Farm, AZ Back to Nature, Roda Impian Cruise dan Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB).