Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Majlis perkahwinan rai 23 pasangan mempelai di Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 29 SEPT – Seramai 23 pasangan mengambil peluang untuk mendaftarkan perkahwinan mereka pada hari ini di Dewan Perhimpunan Cina Pulau Pinang, sempena Perayaan Pertengahan Musim Luruh yang juga dikenali sebagai Perayaan Kuih Bulan.

Antara pasangan pengantin baharu hari ini, Yeap Mou Han, 27, dan isterinya, Loo Jia Nee, 22, berkata mereka memilih untuk berkahwin pada hari ini memandangkan kepercayaan masyarakat Cina yang mengatakan tarikh itu dikatakan baik untuk membina keluarga.

”Kami tidak menyangka akan diraikan dalam majlis perkahwinan secara beramai-ramai di sini hari ini, kami sangka hanya kami berdua sahaja akan berada di dewan ini.

“Kami terkejut apabila datang ke sini awal pagi tadi dan ternampak ramai pasangan pengantin, rupanya kami antara salah satu pasangan pengantin yang mendaftar perkahwinan hari ini,” katanya kepada wartawan selepas majlis itu di sini hari ini.

Yeap yang bekerja sebagai jurujual itu berkata pasangan pengantin itu gembira meraikan hari istimewa mereka bersama pasangan yang lain.

Turut hadir Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan Pengerusi Dewan Perhimpunan Cina Pulau Pinang, Tan Sri Tan Khoon Hai. Majlis pendaftaran perkahwinan secara beramai-ramai itu diadakan dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi meraikan Hari Pendaftaran Negara yang jatuh pada 1 Oktober. – Bernama

Chow Kon Yeow bergambar bersama 23 pasangan pada majlis pendaftaran perkahwinan berkelompok di Dewan Perhimpunan Cina Pulau Pinang, kelmarin. – Bernama