PARIS, 29 SEPT – Jutawan Perancis, Bernard Arnault dan oligarki Rusia, Nikolai Sarkisov, sedang disiasat atas dakwaan pengubahan wang haram di pusat peranginan mewah di Alpen, menurut pendakwa raya Paris.
Siasatan itu tertumpu kepada aktiviti mereka di Courchevel, pusat peranginan ski di Alpen Perancis yang terkenal sebagai tempat bermain bagi golongan ultra-kaya, lapor pihak berkuasa kelmarin.
Unit perisikan kewangan kementerian ekonomi Perancis mengetuai penyiasatan itu, namun masih belum menentukan sama ada sebarang jenayah telah dilakukan, menurut sumber yang rapat dengan siasatan itu kepada AFP.
Menurut laporan akhbar Le Monde, yang merujuk kepada unit perisikan kewangan Tracfin, jutawan Rusia berusia 55 tahun itu didakwa membeli 14 unit perumahan daripada seorang penjual pada 2018 dengan harga AS$17 juta pada kadar semasa dalam satu urus niaga kompleks yang melibatkan syarikat-syarikat di Perancis, Luxembourg dan Cyprus.
Walaupun dia dipercayai sebagai pembeli, nama Sarkisov tidak tertera di mana-mana dalam buku syarikat yang menjalankan pembelian itu.
Syarikat yang dipanggil La Fleche itu dipercayai telah membeli tiga lagi unit hartanah daripada syarikat kedua yang ternyata juga milik Sarkisov.
Penjualan hartanah itu kepada dirinya sendiri membenarkan warga Rusia itu memperoleh keuntungan modal sebanyak 1.2 juta euro, menurut akhbar itu. – AFP