Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – Isu pendidikan agama khususnya cara mengajar, tenaga pengajar, mata pelajaran serta dasar mendapat perhatian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam titah Baginda semasa lawatan tidak berjadual ke Kemen-terian Hal Ehwal Ugama (KHEU), hari ini.
Baginda bertitah menyatakan bahawa KHEU berperanan untuk mengelinga pendidikan agama khasnya dalam perkara penyediaan dasar dan sistem yang
betul.
“Pendidikan agama telah kita daulatkan sebagai wajib untuk dipelajari bermula dari Darjah 1 hingga ke 6.
“Oleh itu, adalah wajar untuk ia disampaikan dengan cara yang menepati kaedah-kaedah pembelajaran. Kaedah-kaedah pembelajaran itu termasuk cara-cara mengajar, tenaga pengajar guru dan mata-mata pelajaran yang diajar.
“Semua ini sangat mustahak untuk dikenal pasti sebagai bersesuaian dan sempurna dilaksanakan.”
Dalam perkara cara mengajar dan tenaga pengajar, Baginda bertitah bahawa kedua-duanya memerlukan psikologi, terutama bagi murid-murid atau penuntut-penuntut di bawah umur.
“Tanpa faktor psikologi, pembelajaran tidak akan dijamin sempurna. Maka sehubungan itu, Beta ingin bertanya adakah guru-guru yang ditugaskan mengajar di sekolah-sekolah agama telah dibekalkan dengan psikologi?.
“Pada biasanya ilmu ini hanya akan didapati dengan jalan mengikuti Program Diploma Pendidikan sahaja.
“Perkara ini, Beta timbulkan kerana mata pelajaran agama bukannya mudah, nisbah bagi kanak-kanak, ia memerlukan watak guru yang pandai memainkan peranan seperti tidak terlalu keras dan bukan pula lembik.
“Yang makanya seorang guru itu, sangat mustahak untuk akses menguasai psikologi,” tekan Baginda.
Baginda bertitah lagi, “Beta kurang selesa apabila mendengar sesetengah ibu bapa bersungut anak-anak mereka tidak gembira belajar di sekolah agama.
“Mengapa tidak gembira kerana setengah guru dikatakan sangat keras, bersikap suka memaksa. Jika ini benar, nyatalah guru seperti itu telah mengabaikan faktor psikologi.”
Sementara itu, Baginda bertitah menyentuh mengenai sukatan dan mata pelajaran di mana setelah penelitian Baginda, mendapati ada beberapa perkara yang perlu dilihat semula seperti nama mata pelajaran Tarikh di mana Baginda mencadangkan supaya ditukarkan jadi Tarikh Islam dan mata pelajaran itu juga patut untuk dijadikan subjek wajib.
“Kemudian mata pelajaran Tasawuf, Beta telah meminta untuk ditimbangkan kesesuaiannya kerana istilah Tasawuf itu boleh mendatangkan masalah di mana murid-murid dalam lingkungan umur 10 hingga 13 tahun sukar untuk memahaminya.
“Apabila meneliti mata-mata pelajaran di bawah tajuk Tasawuf bagi Darjah 4, 5 dan 6 telah didapati semuanya berunsur akhlak seperti sifat dengki, sifat bakhil atau kedekut, sifat sabar, tawakal dan lain-lainnya.
“Jadi kalau begitu mengapa mata pelajaran yang namanya Tasawuf itu, tidak ditukar sahaja kepada mata pelajaran akhlak kerana perkataan akhlak dapat difahami oleh semua orang termasuk kanak-kanak tetapi buku Darjah 4 sekarang masih sahaja mengekalkan nama Tasawuf itu, mengapa?.
“Beta juga telah mempertikai beberapa istilah yang digunakan di dalam buku pelajaran Darjah 4, 5 dan 6 seperti istilah maksiat batin dan taat batin.
“Istilah-istilah ini mungkin lebih berkenaan dengan pengamal-pengamal Tasawuf atau Tarikat bukannya kanak-kanak sekolah.
“Oleh itu, Beta melihat elok digunakan kalimat-kalimat maksiat dan taat tanpa menyambungnya dengan kalimat batin tetapi ia masih sahaja kekal dijumpai dalam buku-buku pelajaran Darjah 4, 5 dan 6, sedang isu ini telah berbangkit sejak tahun 2020 lagi,” titah Baginda.
Satu lagi menjadi persoalan yang Baginda bangkitkan ialah dalam Darjah 6, ada diajarkan mata pelajaran Faraid, ilmu untuk membahagi harta pusaka, ilmu ini diakui susah kerana itu, kanak-kanak dianggap belum sesuai untuk mempelajarinya.
Jika dipaksa juga untuk belajar, maka akan berlakulah berbagai-bagai kompleks seperti kanak-kanak tidak menyukai mata pelajaran ini atau juga tidak suka pada guru yang mengajar atau lebih jauh lagi tidak mahu ke sekolah, semata-mata untuk mengelakkan diri daripada mata pelajaran ini.
“Ini bukan andaian lagi tetapi sudah benar-benar menjadi kenyataan di mana ramai ibu bapa bersungut mengenainya. Maka oleh itu, eloklah pihak kementerian membuat kajian semula me-ngenai perkara ini,” titah Baginda.
Baginda seterusnya bertitah mengenai dasar, “Adakah KHEU, dalam perkara menghantar penuntut-penuntut keluar negeri sudah mempunyai dasar yang dipegang.
“Beta timbulkan perkara ini kerana ada kemusykilan iaitu dalam pada sekian ramai penuntut yang layak ke Mesir tetapi cuma tiga orang sahaja yang mendapat biasiswa, sementara selebihnya, seramai 60 orang belajar persendirian atau dengan mendapat kemudahan Skim Bantuan Pinjaman Pendidikan (SBPP).
“Beta ingin tahu mengapakah cuma tiga orang sahaja yang dipilih untuk mendapat biasiswa. Apakah kriteria yang dipakai? Adakah pangkat mumtaz, cemerlang sahaja yang diberi peluang, sementara pangkat berikut seperti jayyid jidan, sangat baik tidak diberi peluang.
“Pada hemat Beta, perkara ini ada baiknya dikaji lagi, jika benar kita mengambil berat survival agama di masa hadapan.
“Selain itu, daripada tiga orang dipilih untuk mendapat biasiswa, hanya dua orang sahaja dihadirkan ke Al-Azhar, Mesir sementara seorang lagi ke tempat lain untuk mengikuti pengajian Sarjana Muda Fiqh dan Usul.
“Soalan Beta, mengapakah tempat lain, walaupun tempat lain itu sudah diiktiraf namun ia mungkin hanya sesuai untuk pengajian ijazah lanjutan bukannya untuk freshie, penuntut-penuntut yang baru menagih ijazah kerana mereka ini belum lagi mempunyai pengalaman dan asas yang kukuh untuk mempertahankan diri dan akidah, sekiranya di tempat lain itu, terdapat pelbagai aliran lain yang tidak terkecuali wujud dalam pusat-pusat pengajian.
“Kita khuatir penuntut-penuntut baharu akan boleh sahaja terbawa-bawa menjadi penganut atau pengikut kepada aliran-aliran yang bertentangan dengan aliran Ahli Sunnah Wal-Jamaah.”
Baginda menekankan, “Nampaknya KHEU dan mungkin juga Kementerian Pendidikan belum lagi berfikir untuk memiliki dasar yang tegas dengan Beta sendiri cenderung untuk menamakan sebagai Dasar Penyelamat bagi Modal Insan dan Akhirat.
“Oleh kerana belum ada dasar itulah, maka kementerian-kementerian ini, dilihat sebagai bersikap sangat terbuka, tiada halangan bagi penuntut-penuntut memilih sendiri tempat yang mereka sukai, berbeza jika kita sudah ada dasar tentu sahaja kita akan melihat dahulu mana-mana yang terkeluar dari dasar, tidak akan digunakan demi untuk memelihara kemaslahatan,” tekan Baginda.