KUALA LUMPUR, 28 SEPT – Malaysia berjaya menempah slot ke peringkat suku akhir Kejohanan Berpasukan Campuran Remaja Dunia 2023 di Spokane, Amerika Syarikat selepas muncul juara Kumpulan C apabila menewaskan England 5-0, kelmarin.
Kejayaan itu menyaksikan Malaysia akan berhadapan dengan juara Kumpulan D iaitu India pada aksi suku akhir lewat hari ini, sekali gus menebus kekalahan di peringkat kumpulan pada edisi tahun lepas di Santander, Sepanyol.
Pada perlawanan terakhir Kumpulan C yang diadakan di The Podium, pasukan negara mencatat kemenangan pertama menerusi beregu campuran, Low Han Chen-Chan Wen Tse yang mengalahkan Oliver Butler-Chloe Dennis 21-16, 21-17 dalam tempoh 28 minit.
Didorong dengan kemenangan Han Chen-Wen Tse, pemain perseorangan lelaki, Eogene Ewe mempamerkan keberanian untuk mengatasi Michael Pang, 21-6, 21-9 bagi menyumbang mata kedua buat Malaysia.
Namun, perseorangan wanita, Siti Zulaikha Muhammad Azmi terpaksa bangkit selepas ketinggalan untuk menewaskan Leona Lee, 16-21, 21-18, 21-10, mencatatkan mata kemenangan seterusnya buat Malaysia manakala beregu lelaki Bryan Jeremy Goonting-Aaron Tai berjaya memberikan mata keempat apabila menundukkan Robin Harper-Harry Wakefield, 21-12, 21-10.
Kemenangan straight set oleh gandingan wanita Ong Xin Yee-Carmen Ting terhadap Lucy Brierley-Tashvi Parab, 21-11, 21-9 pada aksi final melengkapkan kemenangan bagi Malaysia.
Pada Isnin, Malaysia memulakan kempen Kumpulan C dengan bergaya selepas menundukkan Poland 4-1 pada perlawanan pembukaan, diikuti kemenangan 5-0 menentang Austria dan satu lagi kejayaan 5-0 terhadap Latvia pada Selasa.
Pada edisi lepas, Malaysia menamatkan saingan berpasukan campuran di tempat kesembilan selepas menewaskan Denmark 4-1. – Bernama