Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Australia rombak semula tentera

SYDNEY, 28 SEPT – Australia mengumumkan hari ini ‘penstrukturan semula besar-besaran’ tentera dengan memperkenalkan keupayaan serangan jarak jauh baharu, sebagai tindak balas kepada pengaruh ketenteraan China yang semakin meningkat di rantau Asia-Pasifik.

Rombakan itu adalah sebagai respons kepada kajian strategik pada Julai lalu yang mencadangkan peralihan mendadak ke arah pencegahan jarak jauh – menggunakan peluru berpandu, kapal selam dan alat siber untuk mengekang musuh dari jarak jauh.

“Ini adalah langkah penting bagi tentera kami,” kata Menteri Pertahanan, Richard Marles kepada wartawan di bandar timur laut Townsville.

“Ini adalah asas di mana kami akan mewujudkan tentera yang diperlukan untuk masa depan Australia,” katanya.

Pemerkasaan ini akan mewujudkan briged tempur khusus di tiga pangkalan: di bandar utara Darwin, pasukan yang ringan dan mudah untuk dikerahkan; di timur laut Townsville, pasukan dengan lebih banyak kereta kebal perisai yang lebih berat untuk ‘membawa kekuatan paling besar dalam mana-mana konflik’; dan di bandar timur Brisbane, campuran kedua-dua keupayaan.

Beratus-ratus anggota akan ditempatkan semula dalam tempoh lima hingga enam tahun akan datang, kata Marles, sambil menyifatkan ia sebagai ‘penstrukturan semula besar-besaran tentera Australia’.

Rombakan itu juga mewujudkan briged baharu di ibu kota Australia Selatan, Adelaide, dengan kapasiti tembakan jarak jauh dan pertahanan udara serta peluru berpandu bersepadu.

“Ini akan menjadi teknologi canggih dalam tentera,” kata menteri itu. – AFP

Gambar AFP