Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Tangani punca ketagihan dadah, pakar kesihatan mental beritahu kerajaan

Penyalahgunaan dadah lazim digunakan sebagai strategi bertahan, menurut pakar kesihatan mental. (Gambar AFP)

PETALING JAYA: Seorang pakar kesihatan mental menggesa agar kerjasama lebih erat dijalin antara kerajaan dan pakar sektor swasta dalam menangani masalah ketagihan dadah yang besar di negara ini.

Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia Andrew Mohanraj berkata, sektor awam dibelenggu kekurangan tenaga pakar, seperti pakar psikiatri, pakar rawatan ketagihan, kaunselor dan ahli psikologi.

“Bagaimanapun, terdapat organisasi swasta yang berpotensi memenuhi permintaan ini. Justeru, satu mekanisme perlu diwujudkan untuk memudahkan kerjasama yang lebih erat antara agensi antidadah kebangsaan dan sektor swasta,” katanya.

Mohanraj, pakar psikiatri perunding, berkata sistem semasa agensi kebangsaan, yang bergantung pada penagih menghindarkan diri daripada penggunaan bahan terlarang, terlepas pandang elemen psikologi yang dikaitkan dengan ketagihan.

Andrew Mohanraj.

Penghindaran berfungsi terutamanya dengan menghapuskan keperluan fizikal badan untuk dadah dari semasa ke semasa. Bagaimanapun, ketagihan tidak boleh disingkirkan begitu sahaja menerusi penghindaran kerana ia berpunca daripada sebab yang kompleks seperti trauma masa lampau, sifat personaliti, tekanan rakan sebaya dan keadaan psikiatri sedia ada.

“Individu cenderung menggunakan dadah sebagai strategi bertahan,” katanya.

Mengabaikan aspek psikologi penyalahgunaan dadah boleh menjurus kepada peluang lebih tinggi pengulangan dalam kalangan penagih.

Mohanraj mengulas cadangan kerajaan untuk mengkaji semula hukuman jenayah bagi pesalah dadah yang mengutamakan rawatan atau pemulihan.

Seorang peguam, Tharamjit Singh berkata, pusat pemulihan perlu dinilai secara kritikal sebelum kerajaan melaksanakan rancangannya.

“Tiada guna menghantar (penagih) ke pusat pemulihan jika mereka hanya akan mengulangi perbuatan (menyalahgunakan dadah) setelah bebas,” katanya.

Kerajaan mesti meneliti data daripada pusat pemulihan sedia ada, termasuk kadar kejayaan, garis panduan operasi, protokol pemeriksaan, dan cara mereka memantau pemulihan individu.

Tharamjit turut mencadangkan Malaysia mencontohi Australia berhubung reformasi pusat sebegitu.

“Di Australia, ia dikenali sebagai ‘correctional centres’, yang berfungsi lebih seperti fasiliti pemulihan. Model ini mengintegrasikan kaunseling dan campur tangan psikologi, menjamin pendekatan yang lebih holistik dalam pemulihan.”