KUALA LUMPUR: Inisiatif kerajaan bagi membantu pekebun kecil getah yang berdepan cabaran harga getah rendah, dan konflik di Palestin menjadi antara isu yang akan dibincangkan pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) meminta menteri perladangan dan komoditi menyatakan langkah serta inisiatif yang sedang dan akan dilaksanakan bagi membantu pekebun kecil getah. Perkara itu akan diajukan Adnan pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri.
Selain itu Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) bertanyakan kepada menteri luar tentang kerajaan yang masih belum menyatakan pendirian dan tindakan lebih tegas dalam isu konflik di Palestin, seperti mendesak agar Benjamin Netanyahu dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa.
Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) pula mengutarakan soalan kepada menteri pengangkutan berkaitan “ridership” perkhidmatan KTMB Shuttle Tebrau antara JB Sentral dan Woodlands, Singapura.
Beliau juga ingin tahu sama ada kerajaan sedia berunding dengan Singapura untuk menambah kapasiti perkhidmatan itu daripada 36 trip dua hala kepada sekurang-kurangnya 50 trip.
Turut dijadualkan, Wong Chen (PH-Subang) pada sesi soal jawab meminta menteri pengangkutan menyatakan peratusan pelaksanaan sistem pembayaran terbuka dalam rangkaian pengangkutan awam Lembah Klang, seperti Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan bas Rapid KL.
Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman) pula meminta menteri pembangunan, wanita, keluarga dan masyarakat menyatakan status terkini penubuhan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak seperti yang diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2023.
Sidang hari ini juga akan menyambung sesi perbahasan Belanjawan 2024 yang memasuki minggu kedua, selepas dibentangkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 13 Okt lepas.
Berdasarkan takwim Dewan Rakyat, Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 itu akan dibahas pada peringkat dasar selama lapan hari, sebelum sesi jawapan oleh menteri selama empat hari bermula 30 Okt ini.
Ahli Parlimen akan mengambil bahagian dalam perbahasan RUU berkenaan pada peringkat jawatankuasa selama 12 hari bermula 6 Nov ini.
Sidang Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 32 hari bermula 9 Okt hingga 30 Nov ini.