Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Kerajaan tiada iltizam politik untuk perkenal semula GST, kata bos Mydin

Ameer Ali Mydin berkata, cukai kemewahan yang dicadangkan tidak akan membawa banyak hasil untuk negara, sebaliknya mungkin mendorong pengguna berbelanja di tempat lain.

PETALING JAYA: Ahli perniagaan Ameer Ali Mydin mendakwa kerajaan tidak mempunyai iltizam politik yang diperlukan untuk memperkenalkan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Bercakap dalam episod terbaru “Stakeholders, with Shireen” terbitan FMT yang disiarkan di YouTube hari ini, pengarah urusan pasar raya besar Mydin itu berkata, pengenalan semula GST ialah cara “paling mudah” untuk menambah dana negara.

“Tetapi hanya sebab seseorang kalah dalam pilihan raya kerana GST, kerajaan tiada iltizam politik untuk melaksanakannya sekarang,” katanya kepada hos, Shireen Muhiudeen.

Akibatnya, kata Ameer, kerajaan terpaksa memperoleh hasil daripada sumber lain,

Diperkenalkan pada 2015, GST menjadi isu hangat pada PRU14 tiga tahun kemudian, dan menjadi pusat naratif yang mencetuskan kejayaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Anwar Ibrahim menggulingkan Barisan Nasional (BN) pimpinan Najib Razak, merampas kuasa di Putrajaya.

Hasil cukai mewah tak ketara, tak produktif

Mengenai cadangan dalam Belanjawan 2024 untuk memperkenalkan cukai kemewahan, Ameer melabelkan langkah itu sebagai “cadangan tidak cerdik” yang menunjukkan kerajaan “kurang faham”.

“Cukai kemewahan tidak akan memberi kita hasil berbilion-bilion dolar (yang diperlukan),” katanya sambil menambah, paling hebat, ia akan menjana hasil kira-kira RM200 juta.

Sebaliknya, Ameer berkata, cukai seperti itu hanya mewujudkan persepsi bahawa “big ticket items”, seperti hartanah dan kenderaan, lebih mahal di Malaysia.

Akibatnya, pengguna dan pelancong akan memilih membelinya di tempat lain, katanya.

Pengecualian SST mengecilkan asas cukai

Berkenaan SST, Ameer berkata, isu sebenar terletak pada senarai pengecualiannya yang luas, terutamanya membabitkan sektor makanan dan minuman (F&B) serta telekomunikasi, yang memberi kesan pada hasil cukai yang boleh dikutip.

“Kenapa kecualikan F&B sedangkan di situlah hasilnya? Nak wang? Kena tahu di mana nak cari,” katanya sambil menambah, kerajaan sepatutnya berusaha memperluas asas cukai berbanding mengehadkannya menerusi pengecualian.

Pengecualian mewujudkan kelemahan yang akan sentiasa dieksploitasi oleh perniagaan, katanya.