Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Tangani isu penting atau tanggung label ‘kerajaan gagal’, kata Hamzah

Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin mendakwa kerajaan tidak mengambil langkah intervensi segera yang konkrit dan komprehensif. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin mendakwa kerajaan tidak berbuat secukupnya untuk mengatasi kemerosotan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat, menyelesaikan masalah kekurangan beras semasa, dan menangani kenaikan kos sara hidup.

Di Facebook, setiausaha agung Perikatan Nasional (PN) itu memberi amaran jika kerajaan tidak menangani isu-isu ini, ia berisiko dilabel sebagai “kerajaan gagal”, yang pernah dilemparkan terhadap pentadbiran PN.

Tanda pagar #KerajaanGagal pernah digunakan di media sosial dalam kritikan terhadap cara pentadbiran PN menangani wabak Covid-19.

Hamzah berkata, dolar AS mengatasi paras RM4.70 minggu ini, yang menurutnya memberikan “kesan drastik” terhadap ekonomi dan kadar inflasi, lebih-lebih lagi sebahagian keperluan makanan negara diimport.

“Dulu ketika ringgit di paras bawah RM4.50, dialah paling lantang mengatakan PN tak reti mentadbir,” kata Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut itu.

“Tetapi sekarang bukan sahaja ringgit menjunam ke paras terburuk, bekalan beras pun berdepan krisis yang tak kunjung selesai dan harga barang terus melonjak naik.

“Kalau beginilah cara negara diurus, janganlah salahkan mana-mana pihak jika ada yang melabelkan kerajaan PH-BN ini kerajaan gagal.

Beliau turut mendakwa kerajaan tidak mengambil langkah intervensi segera yang konkrit dan komprehensif, tetapi hanya “mencipta alasan demi alasan”.