PETALING JAYA: Seorang pemotong rumput mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Batu Pahat atas tuduhan memiliki kerambit lambang tengkorak dan pisau lipat.
Harian Metro melaporkan Mohamad Fitri Pabir, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca jurubahasa di depan Hakim Harmi Thamri Mohamad.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki kerambit pemegang lambang tengkorak hitam sepanjang 13cm dan pisau lipat tanpa kebenaran di rumahnya di Taman Mutiara Perdana, Jalan Kluang, Batu Pahat pada 6.10 petang 25 Sept lalu.
Ketika disoal siasat, tertuduh memberi alasan membawa senjata itu untuk memotong tali.
Susulan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun.
Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah tidak membenarkan ikat jamin kerana mengambil kira kesalahan tertuduh.
Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan menetapkan 10 Okt ini sebutan semula kes, serahan dokumen serta lantikan peguam.