JAKARTA, INDONESIA, 28 SEPT – Aplikasi TikTok milik China menyatakan penyesalannya atas keputusan kerajaan Indonesia untuk melarang transaksi e-dagang di platform media sosial dan terutama kesannya terhadap jutaan penjual yang menggunakan TikTok Shop.
Namun, TikTok Indonesia mengatakan dalam satu kenyataan bahawa ia akan menghormati peraturan dan undang-undang yang dilaksana di Indonesia dan ‘akan mengambil pendekatan yang konstruktif.’
“Kami amat kesal dengan pengumuman kerajaan, terutama bagaimana ia akan memberi kesan kepada sumber pendapatan enam juta penjual dan hampir tujuh juta pencipta yang menggunakan TikTok Shop,” kata kenyataan yang dihantar kepada The Associated Press hari ini.
Indonesia melarang transaksi barangan di platform media sosial seperti TikTok dalam usaha melindungi perniagaan kecil daripada persaingan e-dagang, menuduh mereka melakukan penetapan harga merugikan.
Menteri Perdagangan Indonesia, Zulkifli Hasan, mengumumkan keputusan itu setelah pertemuan dengan Presiden Joko Widodo. Larangan itu “untuk mencegah dominasi algoritma dan mencegah penggunaan data peribadi dalam perniagaan,” kata Hasan pada sidang akhbar.
Hasan mengatakan larangan yang berlaku itu bertujuan untuk “menciptakan ekosistem perdagangan elektronik yang adil, sihat dan bermanfaat dengan melarang pasaran dalam talian dan penjual media sosial sebagai pengeluar dan memudahkan transaksi pembayaran dalam sistem elektroniknya,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan kelmarin.
Pasaran dalam talian dan penjual hanya dapat menawarkan atau mempromosikan barang dan perkhidmatan, tambahnya. – AP