Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Teater ‘bermusim’ kembali rancak

KUALA LUMPUR – Seawal 10 pagi, Sakrani Shamsuddin, 56, sudah berada di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi melakukan kerja-kerja pentadbiran dan produksi, termasuk menyediakan alatan serta kostum satu pementasan teater yang dijadualkan Oktober ini.

Dibantu oleh beberapa kru persembahan, Presiden Persatuan Teater Malaysia ini biasanya sibuk dengan kerja tersebut dari awal pagi hingga petang sebelum mengikuti dan melihat perjalanan latihan intensif pelakon yang lazimnya berakhir pada lewat malam.

“Beginilah rutin harian saya sejak pertengahan bulan Julai, sibuk dengan persediaan untuk pementasan teater bagi memastikan semuanya berjalan lancar. Sebelum ini kami sibuk dengan pementasan teater monodrama, Kopi Pangku yang dipentaskan pada Ogos lepas dan sekarang dengan latihan teater Lantai T. Pinkie,” katanya kepada Bernama.

Berperanan sebagai penerbit untuk dua pementasan teater tersebut, bapa kepada empat orang anak ini mengakui rutin hariannya jauh berbeza jika dibandingkan lima bulan lepas ketika aktiviti pementasan teater agak lesu.

Selain tugas hakikinya, anak kelahiran Sungai Manila, Perak ini juga perlu menghadiri pelbagai mesyuarat berkaitan seni persembahan atau menjadi juri teater.

Penulis skrip teater muzikal Lantai T. Pinke, yang juga Sasterawan Malaysia, Datuk Seri A. Samad Said (duduk, enam, kiri) bergambar ramai selepas sidang media teater muzikal berkenaan di Menara Dewan Bahasa Pustaka DBP di Jalan Dewan Bahasa Pustaka. – Bernama

“Bukan saya seorang sahaja yang sibuk. Awak tanyalah mana-mana pengamal teater, sama ada pelakon, kru, semuanya akan jawab mereka sibuk sejak pertengahan Jun hingga pertengahan Oktober ini kerana pelbagai aktiviti pementasan teater akan berlangsung sepanjang tempoh itu.

“Rancaknya boleh diukur apabila berlumba-lumba pementasan teater diadakan setiap satu minggu. Berbanding awal Januari hingga Mei lepas, hendak lihat satu pementasan teater dalam sebulan pun susah. Memang lembab ketika itu, dan situasi sama akan berlaku selepas 15 Oktober dan kerana itu ada yang gelar pementasan teater ini ‘bermusim’,” katanya.

Mengapa bermusim?

Biarpun ketika ini kerancakan seni teater adalah secara bermusim, Sakrani yang sudah bergiat dalam bidang seni kreatif selama lebih 30 tahun, gembira dengan perkembangan positif itu yang mencerminkan proses pemulihan selepas terkesan teruk oleh pandemik COVID.

Sebelum ini dilaporkan industri kesenian dan kebudayaan merekodkan kerugian sekitar RM85 juta dalam tempoh setahun, dan pementasan teater antara yang turut terjejas disebabkan tiada sebarang pementasan boleh diadakan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengawal COVID.

Sekalipun begitu, beliau berasa bimbang akan sifat bermusim industri pementasan teater itu yang menurut beliau tidak akan mampu merangsang kembali sektor itu kerana tempoh kerancakan industri yang singkat.

“Ada sebab mengapa pementasan teater semakin rancak ketika ini. Kami mula mendapat dana Geran Sokongan Sektor Kebudayaan sejak tahun lepas yang diberikan dalam bentuk one-off (sekali bayar) bagi mengadakan aktiviti persembahan.

“Dana ini perlu dipohon setiap tahun dan biasanya persatuan teater atau syarikat seni yang berjaya akan mendapat dana sekitar bulan Mei dan aktiviti pementasan akan sibuk sepanjang Jun hingga 15 Oktober. Syarat geran ialah pementasan teater tidak boleh diadakan selepas 15 Oktober kerana pihak MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) inginkan laporan mengenainya,” kata beliau.

Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) merupakan inisiatif kerajaan di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan MOTAC, bertujuan memastikan ekosistem kesenian dan kebudayaan di Malaysia kekal berdaya saing dan diperkasa, selari dengan matlamat serta nilai teras Malaysia Madani

Bersifat sekali bayar di bawah MOTAC, had maksimum geran sokongan tidak melebihi RM300,000 bagi badan bukan kerajaan (NGO)/pertubuhan bukan berasaskan keuntungan (NPO)/syarikat dalam tempoh satu tahun semasa.

Untuk tahun ini sahaja, MOTAC telah meluluskan peruntukan berjumlah RM9.675 juta melalui 127 permohonan GSSK. – Bernama