Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Sekurang-kurangnya 100 maut dalam kebakaran di majlis perkahwinan

ERBIL, 27 SEPT – Sekurang-kurangnya 100 orang maut, manakala lebih 500 lagi cedera dalam insiden kebakaran di majlis perkahwinan di wilayah Nineveh di utara Iraq, lapor Agensi Anadolu pada hari ini.

Insiden berlaku di Dewan Perkahwinan Al Haytham di daerah Al-Hamdaniya yang dihadiri 800 tetamu, lapor media tempatan, memetik timbalan pengarah Jabatan Kesihatan Mosul, Ahmed Hamdani.

Agensi Berita Iraq (INA) melaporkan bahawa kebakaran berpunca daripada bunga api, lilin dan bahan lain yang digunakan semasa majlis berkenaan.

Pasukan bomba dan ambulans dari wilayah berhampiran telah dihantar ke lokasi kejadian.

Menteri Dalam Negeri Abdul Amir Al-Shammari turut menuju ke wilayah itu.

Kebakaran berlaku ketika pasangan pengantin sedang menari dan rakaman kejadian yang tular di media sosial, turut memaparkan orang ramai bertempiaran lari cuba menyelamatkan diri. – Bernama

Pasukan keselamatan berkumpul di lokasi kebakaran maut di daerah Hamdaniya, wilayah Nineveh, Iraq, hari ini. – AP