SIBU, 27 SEPT – Sarawak merekodkan sebanyak 88,606 kes gigitan haiwan sejak 2017, kata Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Katanya, meskipun bukan semua kes berpunca daripada haiwan berpenyakit anjing gila atau rabies, angka tersebut masih membimbangkan.
Beliau berkata sejak 2017, jumlah kes rabies manusia di Sarawak adalah 72 dengan 65 atau 90.3 peratus daripadanya melibatkan kematian.
“Saya sangat berharap angka ini tidak akan meningkat dalam masa terdekat ini,” katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri II Negeri bagi Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Ucapan Abang Johari dibacakan pada pembukaan Persidangan Asia Pasifik mengenai Penyakit Zoonotik dan Tropikal Terabai 2023 di sini hari ini.
Beliau berkata jangka hayat penduduk Sarawak ialah 76.5 tahun iaitu antara yang tertinggi di Malaysia, justeru menunjukkan negeri itu mempunyai populasi yang sihat dan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang baik.
Bagaimanapun, negeri itu masih berdepan ancaman rabies dan banyak lagi penyakit zoonotik seperti malaria monyet dan leptospirosis.
Beliau berkata kerajaan Sarawak komited untuk membina Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) iaitu suatu pusat penyelidikan, membabitkan kos RM200 juta. – Bernama