Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Rasulullah SAW sumber teladan sepanjang zaman

Oleh Nurdiyanah R. –

Satu tarikh keramat dalam lembaran sejarah umat Islam di seluruh dunia, tanggal 12 Rabiulawal, lahirnya junjungan besar Nabi Muhammad SAW sebagai pesuruh Allah SWT yang teragung dan terakhir untuk menyampaikan risalah perintah Islam dan memimpin manusia ke jalan yang benar.

Baginda Rasulullah SAW adalah tanda lahirnya cahaya kebenaran. Kisah hidupnya menjadi ristaan yang tidak pernah luput ditelan zaman, malah tetap segar menanamkan rasa kecintaan kita kepadanya, kerana Baginda merupakan teladan yang mulia patut dicontohi oleh seluruh umat Islam.

Hal ini terbukti melalui firman Allah SWT dalam Surah Al-Ahzab ayat 21 sebagaimana tafsirnya: “Demi sesungguhnya pada diri Rasulullah itu ada contoh yang baik bagi kamu iaitu bagi orang yang mengharapkan (keredaan) Allah dan (kebahagiaan) hari akhirat serta banyak berzikir mengingat Allah.”

Oleh itu amat wajarlah sejarah kehidupan dan perjuangan Baginda dijadikan sebagai sebuah rentetan sejarah hidup yang panjang dipenuhi dengan pelbagai pengajaran dan pedoman untuk umat Islam sejagat serta menjadi ikutan, panduan dan sebagai suri teladan sepanjang zaman.

Zahirkan cinta kepada Rasulullah SAW

Sebagai umat Islam, antara cara untuk menzahirkan tanda kasih dan cinta kepada Rasulullah SAW itu adalah mencontohi dan meneladani akhlak Baginda yang sentiasa benar atau jujur, amanah, bijaksana dalam segala urusannya.

Gambar fail ceramah bertajuk Meneladani Akhlak Nabi Muhammad SAW telah disampaikan oleh pegawai dari Pusat Dakwah Islamiah pada 4 November 2020. – Gambar oleh Nurdiyanah R.
Gambar fail Muiz Matdani
Selaku umat Islam kita dituntut untuk mengikut sunnah Rasulullah SAW dalam segenap perkara dalam kehidupan. – Gambar oleh Nurdiyanah R.
Gambar oleh Nurdiyanah R.

Sifat benar ini wajib ada pada rasul dan nabi. Ia menjadi sifat yang mutlak iaitu bersifat benar dalam semua perkara sama ada dalam percakapan, perbuatan dan hati. Jika semua manusia bersifat begini, nescaya aman dan makmurlah dunia ini. Manakala sifat amanah Rasulullah SAW adalah lengkap dan sempurna.

Tidak diragukan lagi bahawa keluhuran budinya adalah penyumbang terbesar yang menyebarluaskan risalah Allah. Bangsa Arab mengenali sifat amanah Nabi SAW sebelum Baginda diangkat menjadi rasul. Malah mereka memberinya gelaran Al-Amin bermaksud orang yang dipercayai.

Para rasul menyampaikan wahyu yang diterima daripada Allah SWT, di mana menyampaikan itu menjadi sifat yang istimewa kepada mereka. Mustahil mereka menyembunyikan wahyu Allah.

Mereka tetap menyampaikannya walaupun menghadapi kezaliman dan kekejaman manusia. Para rasul sentiasa menyampaikan segala ajaran, peringatan, hukum-hukum, berita gembira dan berita buruk kepada seluruh umatnya.

Setiap rasul Allah SWT wajib memiliki sifat ini dalam memahami ajaran Allah SWT. Para rasul memiliki kekuatan ingatan dan ketajaman akal yang luar biasa, sehingga tidak ada sesiapa yang mampu menandingi mereka.

Baginda juga seorang yang penyayang, sentiasa berbuat baik, menjaga rahsia, berlemah lembut, pemalu, pemaaf, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran, adil, ikhlas, berbaik sangka, qanaah iaitu berasa cukup, menjaga hubungan persaudaraan dan sebagainya.

Selain itu, antara sifat terpuji yang telah ditunjukkan Rasulullah yang patut dicontohi dan diteladani ialah Baginda merupakan seorang yang sangat penyabar, menahan diri daripada kesakitan dan penganiayaan kaum musyrikin pada awal permulaan dakwah Baginda.

Rasulullah SAW juga memiliki sifat pemaaf yang tinggi. Baginda bukanlah seorang pendendam walaupun dianiaya atau disakiti dan memaafkan orang yang telah menzalimi Baginda.

Sungguhpun Nabi Muhammad SAW seorang yang maksum, terpelihara daripada perbuatan dosa dan maksiat, bahkan telah dijanjikan oleh Allah SWT dengan ganjaran syurga, namun Baginda tetap melakukan ibadah kepada Allah SWT, sehingga ke tahap yang melebihi daripada tahap biasa.

Baginda sama sekali tidak mengabaikan ibadah kepada Allah SWT, bahkan sentiasa menggandakannya, walaupun kedudukan Baginda sudah diketahui terjamin sebagai orang yang pertama melangkahkan kaki ke dalam syurga.

Begitulah indahnya dan mulianya akhlak dan pekerti junjungan Rasulullah SAW dan selaku umat Islam perlu mencontohi akhlak Baginda dan mengamalkan dalam semua perkara dalam kehidupan.

Semai dan jiwai demi meraih reda Ilahi

Maka, selaku umat Islam kita adalah dituntut untuk mengikut sunnah Rasulullah SAW dalam segenap perkara dalam kehidupan.

Manakala akhlak Baginda yang sering disebut di dalam Al-Quran, hadis dan sirah, janganlah hanya sekadar menjadi bahan bacaan, malahan hendaklah diaplikasikan dalam kehidupan seharian agar kita dapat menjalani hidup di dunia selaras dengan apa tujuan kita diciptakan Allah SWT.

Semuanya begitu penting disemai dalam jiwa raga Muslimin dan Muslimat tanpa mengira bangsa, keturunan dan darjat dari semasa ke semasa agar kehidupan yang kita jalani ini beroleh kebahagiaan dan keselamatan di dunia dan akhirat.

Baginda adalah contoh ikutan terbaik bagi seluruh umat manusia.

Hari ini ramai tokoh yang lahir tampil untuk membuat kita kagum, namun personaliti Rasulullah SAW dan kebijaksanaan Baginda jauh lebih hebat hatta telah membawa perubahan kepada dunia seluruhnya sejak lebih 1,400 tahun yang lalu.

Baginda telah menampilkan transformasi yang besar kepada aspek sosial masyarakat, aspek pemerintahan dan aspek keteladanan yang boleh dicontohi oleh umatnya.
Sesungguhnya, kelahiran Rasulullah SAW membawa rahmat kepada seluruh alam.