STOCKHOLM, 26 SEPT – Polis Sweden hari ini berkata bahawa mereka sedang menyiasat sama ada kebakaran yang memusnahkan sebuah masjid pada hari sebelumnya di tengah Sweden adalah disengajakan.
“Siasatan mengenai kebakaran itu diteruskan. Polis akan menyoal saksi dan mengesahkan sama ada terdapat kamera keselamatan di kawasan itu,” kata polis dalam satu kenyataan di laman web mereka.
Kebakaran itu berlaku kelmarin sekitar tengah hari di Eskilstuna, sebuah bandar dengan 108,000 penduduk terletak 150 kilometer barat Stockholm dan tidak menyebabkan kecederaan, kata jurucakap polis kepada AFP.
Tiada suspek yang dikenal pasti dan tiada sebarang penahanan telah dibuat.
“Masjid ini hampir musnah, tiada apa yang boleh diselamatkan,” kata jurucakap masjid, Anas Deneche kepada AFP.
Deneche berkata masjid itu telah menjadi sasaran beberapa tindakan keganasan pada tahun lalu dan keluarganya telah diancam.
“Tetapi masih terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan (mengenai punca kebakaran itu), kita perlu tunggu polis menjalankan tugas mereka,” katanya.
Pihak polis berkata mereka sedang menyiasat beberapa petunjuk tetapi tidak memberikan sebarang butiran lanjut. – AFP