LIMA, 29 SEPT – Peru mengumumkan hari ini bahawa ia akan menangguhkan lawatan pelancong ke sebahagian daripada Machu Picchu disebabkan penghakisan struktur batu tertentu yang membentuk kota purba Inca itu.
Tarikan pelancongan utama Peru itu dikunjungi seramai 3,800 orang setiap hari.
Disebabkan oleh kerosakan akibat jumlah pengunjung yang ramai, Kementerian Kebudayaan mengumumkan penangguhan lawatan ke Kuil Condor, Kuil Matahari, serta ‘Intihuatana’ – struktur batu yang diukir yang dianggap suci oleh penduduk Inca.
“Kerosakan ini adalah tidak dapat dipulihkan. Kita mesti melindungi warisan kita,” kata Maritza Rosa Candia, wakil kementerian di bandar Cusco.
Kota purba itu terletak kira-kira 130 kilometer dari Cusco dan dibina pada abad ke-15 pada ketinggian 2,500 meter atas arahan pemerintah Inca, Pachacutec.
Ia dianggap sebagai keajaiban seni bina dan kejuruteraan serta telah diisytiharkan sebagai tapak warisan dunia UNESCO pada tahun 1981. – AFP