Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, ASEAN telah menjadi sebuah rantau yang amat kompetitif di mana ia dicerminkan melalui peningkatan permintaan untuk menghasilkan tenaga kerja yang berkemahiran.
Dalam hubungan itu, pelaksanaan Program ASEAN-ROK TVET Mobility adalah amat bertepatan yang mana ia bermatlamat untuk mengukuhkan bidang-bidang asas program Latihan dan Pendidikan Vokasional dan Teknikal (TVET) bersama untuk mengurangkan jurang dalam kompetensi kerja dalam kalangan negara-negara ASEAN.
Pada masa yang sama, menerusi inisiatif berkenaan ia dapat menyediakan tenaga manusia yang berkemahiran untuk sesebuah negara, jelas Ketua Pegawai Eksekutif dan
Pengarah Pendidikan Teknik, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), Dr Haji Mohd Zamri bin Haji Sabli dalam ucapannya pada Majlis Penutup Program ASEAN-ROK TVET Mobillity di Hotel Radisson, di sini, hari ini.
Beliau menyatakan harapan menerusi program itu, semua pihak berkepentingan akan berusaha dengan lebih gigih untuk menjadi sebuah rantau ASEAN yang saling berhubungan di mana TVET merupakan asas kepada perkembangan dan kemakmuran.
Terdahulu dalam ucapannya, Dr Haji Mohd Zamri menyatakan bahawa program itu merupakan sebuah inisiatif yang amat luar biasa di mana bukan sahaja ia mempromosikan pertukaran ilmu pengetahuan dan kefahaman budaya dalam kalangan negara-negara ASEAN tetapi ia juga mempersiapkan para peserta kepada cabaran dalam memenuhi permintaan pasaran kerja masa kini dan akan datang.
Beliau berkata, menerusi program itu, seramai 19 peserta telah diberikan pengetahuan dan pengalaman dalam Program Pengurusan Rangkaian termasuk cloud computing, prinsip pengurusan rangkaian dan berpeluang untuk menghalusi lagi kemahiran mereka dalam perancangan rangkaian, rekaan, dan pengurusan.
Sementara itu, menerusi latihan penempatan kerja, para peserta diberikan platform dunia sebenar untuk menggunakan kemahiran yang diperoleh dalam suasana industri sebenar di mana pengalaman itu bukan sahaja meningkatkan ilmu pengetahuan mereka tetapi ia juga sebagai jambatan antara teori dan amalan.
Dr Haji Mohd Zamri seterusnya berkata, program itu mempamerkan usaha kolaborasi antarabangsa dan kebangsaan yang bekerjasama untuk memajukan matlamat yang satu iaitu pembangunan sektor TVET.