Pelakon veteran, Michael Gambon, yang dikenali ramai menerusi watak Albus Dumbledore, guru besar Hogwarts dalam enam daripada lapan filem Harry Potter, telah meninggal dunia pada usia 82 tahun, menurut jurucakapnya kelmarin.
Kenyataan daripada keluarganya, yang dikeluarkan oleh jurucakapnya, menyatakan bahawa beliau meninggal dunia akibat ‘serangan radang paru-paru’.
“Kami amat sedih mengumumkan pemergian Sir Michael Gambon. Suami dan ayah tercinta, Michael meninggal dengan tenang di hospital dengan isteri Anne dan anak lelakinya, Fergus, di sisinya” kata keluarganya.
Tidak kira peranan apapun yang beliau ambil dalam kerjayanya yang berlangsung lebih lima dekad, Gambon sentiasa dikenali dengan serta-merta melalui nada suaranya yang mendalam dan menarik.
Beliau dipilih untuk melakonkan watak Dumbledore yang disayangi ramai selepas kematian penggantinya, Richard Harris, pada 2002.
Dia pernah mengakui bahawa beliau tidak pernah membaca mana-mana daripada buku terlaris JK Rowling, dengan alasan bahawa lebih selamat untuk mengikut skrip daripada terlalu terpengaruh oleh buku-buku itu.
Namun, hal itu tidak menghalangnya daripada menghayati semangat Profesor Dumbledore, ahli sihir terkuat yang memerangi kejahatan demi melindungi pelajarnya.
Walaupun peranan dalam siri Harry Potter telah meningkatkan profil antarabangsa Gambon dan memperkenalkannya kepada generasi baharu peminat, dia telah lama diiktiraf sebagai salah seorang pelakon utama Britain. Kerjanya merangkumi TV, teater dan radio serta dia telah membintangi puluhan filem.- AFP