Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – Mahkamah Majistret hari ini telah memerintahkan seorang wanita penduduk tetap dan menantunya yang merupakan warganegara Malaysia untuk menyelesaikan denda, atau berdepan hukuman penjara berikutan pengakuan bersalah mereka terhadap pertuduhan memiliki minuman beralkohol yang tidak diisytiharkan di rumah mereka.
Pemangku Majistret Kanan, Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid memerintahkan Ngu Suk Leng yang berusia 64 tahun menjelaskan denda $7,500, atau menjalani hukuman penjara tujuh bulan jika gagal membayar.
Sementara itu, Wong Lee Ming yang berusia 44 tahun pula diperintahkan membayar $7,200 atau menjalani hukuman penjara tujuh bulan jika gagal membayar.
Pendakwa kastam memaklumkan mahkamah bahawa pemeriksaan telah dijalankan di rumah Wong di Jalan Maulana, Daerah Belait pada pagi 31 Januari 2022 di mana sebanyak 153 tin dan botol bir, bersama 53 botol minuman keras, yang disahkan dibawa masuk ke negara ini tanpa diisytiharkan.
Manakala pada tengah hari, pemeriksaan seterusnya di rumah Ngu yang terletak bersebelahan rumah Wong, menemui 78 tin dan botol bir, bersama-sama 49 botol minuman keras yang juga didapati tidak diisytiharkan semasa dibawa masuk ke negara ini.
Mahkamah memerintahkan barang rampasan itu dimusnahkan.