Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 SEPT – Sebanyak 26 kesalahan di bawah Perintah Pekerjaan, 2009 telah didapati oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Buruh dalam tiga Operasi Kelinga yang dijalankan di beberapa lokasi di Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Temburong, baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Buruh, Operasi Kelinga 194/2023 pada 11 September telah menyasarkan dua buah premis di kawasan Kampung Delima Satu dan Kampung Sungai Hanching.
Di premis di kawasan Kampung Delima Satu, enam kesalahan dilakukan oleh majikan di bawah Bab 10 iaitu majikan tiada menyediakan kontrak perkhidmatan, Bab 63 gagal memberikan cuti rehat, Bab 65 melebihi jam bekerja yang telah ditetapkan, Bab 70 gagal memberikan cuti hari kelepasan awam, Bab 82 gagal menyediakan kelengkapan kecemasan, dan Bab 112(2) kesalahan melanggar syarat-syarat lesen pengambilan pekerja asing, di mana pekerja berjawatan sebagai buruh kedai didapati membuat pekerjaan juruwang.
Di Kampung Sungai Hanching, tiga kesalahan didapati di bawah Bab 10, Bab 112(1) menggaji pekerja asing tanpa lesen daripada Pesuruhjaya Buruh, dan Bab 112(2) di mana pekerja berjawatan sebagai helper didapati membuat pekerjaan jurujual.
Operasi Kelinga 197/2023 yang dijalankan pada 14 September pula menyasarkan kawasan Pekan Bangar, Temburong, dan Kampung Batu Ampar.
Pemeriksaan kegiatan kedai makan di Pekan Bangar, Temburong telah mendapati empat kesalahan di bawah Bab 10, Bab 63, Bab 65 dan Bab 112(2) di mana dua orang pekerja berjawatan sebagai pelayan dan tukang roti didapati membuat pekerjaan juruwang, dan seorang pekerja berjawatan sebagai pelayan didapati membuat pekerjaan tukang cuci.
Pemeriksaan kegiatan kedai runcit di Kampung Batu Ampar pula mendapati enam kesalahan di bawah Bab 10, Bab 63, Bab 65, Bab 70, Bab 82 dan Bab 112(2) di mana tiga orang pekerja berjawatan sebagai buruh didapati membuat pekerjaan juruwang.
Pada 16 September pula, Operasi Kelinga 201/2023 dikendalikan di kawasan Kampung Gadong dan Kampung Anggerek Desa.
Pemeriksaan kegiatan kedai runcit aksesori kereta di Kampung Gadong telah mendapati tiga kesalahan di bawah Bab 63, Bab 65, Bab 70 dan Bab 82.
Manakala itu, pemeriksaan kegiatan kedai runcit di Kampung Anggerek Desa mendapati empat kesalahan di bawah Bab 63, Bab 65, Bab 82 dan Bab 112(2) di mana tiga orang pekerja berjawatan sebagai buruh didapati membuat pekerjaan juruwang.
Bagi kesalahan-kesalahan tersebut, jika didapati, majikan boleh dikenakan denda kompaun tidak lebih daripada $1,000 bagi tiap-tiap kesalahan. Jika gagal membayar denda kompaun, majikan akan dihadapkan ke mahkamah.