KUALA LUMPUR, 27 SEPT – Sebanyak 15 syarikat dari Asia Tengah memperoleh produk dan perkhidmatan bernilai RM3.82 juta ketika menyertai Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) secara fizikal yang diadakan seiring dengan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) baru-baru ini.
Bagi kebanyakan peserta dari Kazakhstan, Uzbekistan dan Kyrgyzstan, INSP MIHAS merupakan langkah pertama mereka ke dalam industri yang semakin berkembang pesat ini, kata Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dalam satu kenyataan hari ini.
Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE, Almaty Suresh Kumar berkata, memandangkan rantau itu berdekatan dengan negara-negara majoriti Islam yang lain, Asia Tengah berpotensi menjadi pasaran yang menguntungkan.
“Tahun ini menandakan satu pencapaian bersejarah dengan bilangan syarikat terbesar dari rantau itu,” kata Suresh.
Minyak sawit, bahan makanan, produk konfeksi (kuih-muih), jentera dan peralatan pembungkusan, makanan kesihatan dan tambahan, khidmat nasihat dan pendidikan syariah adalah antara produk dan perkhidmatan yang diterokai.
Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata, MIHAS mengukuhkan rantaian bekalan perniagaan halal global dan juga mewujudkan peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menembusi pasaran global.
Lebih 500 pembeli asing dari 48 negara mengambil bahagian dalam INSP MIHAS 2023, merangkumi produk pertanian, makanan dan minuman, ramuan, kosmetik dan penjagaan diri, farmaseutikal dan perubatan, fesyen dan gaya hidup sederhana, seni dan kraf Islam, kewangan Islam dan teknologi kewangan, perbankan dan takaful, logistik, francais, teknologi makanan dan pembungkusan, pendidikan dan e-dagang. – Bernama