Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Siri Kedua
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai qudwah pemimpin adil
Sirah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam banyak membuktikan bahawa pengurusan dan pentadbiran umat Islam pada zaman Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam begitu maju dan efisien kerana pemerintahan itu berdasarkan keadilan.
Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam meletakkan sesuatu pada tempatnya yang betul dan benar dan menepati hak orang-orang yang di bawah pimpinannya kerana pimpinan sebegitulah yang benar-benar dituntut oleh Islam.
Contoh-contoh kepimpinan adil Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam amat banyak, antaranya:
Dalam pemilihan penjawat bagi satu-satu jawatan, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menetapkan dasar kelayakan serta kebolehan bukannya atas dasar keluarga, sahabat atau orang yang dikenali sahaja.
Diriwayatkan daripada sahabat, Abu Dzar Radhiallahu ‘anhu, bahawa beliau berkata kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Ya Rasulullah, tidakkah Tuan memberi jawatan apa-apa kepadaku?” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memukul bahu Abu Dzar Radhiallahu ‘anhu lantas berkata: “Wahai Abu Dzar, engkau seorang yang lemah dan sesungguhnya jawatan itu adalah amanah.
“Ia pada hari kiamat hanya akan menjadi kehinaan dan penyesalan kecuali bagi orang yang dapat menunaikan hak dan kewajipan jawatan itu dan memenuhi tanggungjawab jawatan tersebut.” Begitulah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam meletakkan kelayakan itu sebagai satu perkara penting dalam pemilihan jawatan dan jabatan.
Manakala dalam memutuskan hukuman bagi satu-satu kesalahan, Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam berkehendak keputusan yang adil dan tepat setelah mendengar keterangan pihak-pihak terlibat.
Dalam menjatuhkan hukuman setelah tsabit kesalahan pula, Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak mahu tindakan yang berat sebelah. Tidak kira si pesalah dari keturunan berpangkat mahupun tidak, keluarga mahupun tidak, kaya mahupun miskin, hukuman dilaksanakan tetap adil dan saksama.
Diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha bahawa seorang perempuan Quraisy bangsawan dari Bani Makhzum didapati mencuri. Para sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bingung dalam memutuskan perkara tersebut.
Mereka mengusulkan untuk memberitahu perkara ini kepada Usamah dengan tujuan agar Usamah menyampaikan perkara ini kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan berharap agar mendapat keampunan bagi perempuan tersebut.
Ini kerana mereka tahu bahwa Usamah adalah salah seorang yang dicintai oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Ketika Usamah menyampaikan perkara ini kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Apakah engkau hendak membela seseorang agar terbebas dari hukuman yang sudah ditetapkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala?” Setelah itu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berdiri dan berkhutbah, “Wahai manusia sesungguhnya yang membinasakan orang-orang sebelum kamu adalah, apabila seorang bangsawan dari keturunan mulia itu mencuri, maka mereka biarkan.
“Akan tetapi apabila seorang yang lemah mencuri, mereka jalankan hukuman ke atasnya. Kalau seandainya Fatimah mencuri pun aku akan memotong tangannya”.
Dalam merancang strategi, keputusan dan pelan tindakan yang melibatkan hal ehwal umat Islam pula, Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam melaksanakan sistem syura‘ iaitu dengan bermesyuarat sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Adapun tujuan syura‘ itu adalah untuk meminta pendapat, bertukar-tukar pandangan dan bermuzakarah bersama para sahabat dan para pengikut Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Selain itu, dalam mengurus rumah tangga pula, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melaksanakan hak-hak keluarganya dengan adil.
Contohnya dalam menunaikan hak-hak isteri Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam, baik dalam pergaulan dengan mereka serta mengajar mereka perkara-perkara berkaitan dengan agama dan pembentukan peribadi.
Hak-hak setiap isteri yang dituntut Islam benar-benar dilaksanakan secara adil iaitu nafkah hidup isteri sehari-hari, giliran bermalam dan giliran membawa isteri ketika belayar, yang mana untuk kali pertama perlu dibuat undi dan tidak harus memilih sesuka hati kecuali jika dibenarkan oleh yang lain.
Diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika hendak melakukan perjalanan, Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam akan mengundi nama-nama isterinya.
Nama yang keluar daripada undian tersebut, maka dialah yang akan menemani Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam perjalanan Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Begitu juga Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam membahagi giliran sehari siang dan malam bagi setiap isteri Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam kecuali isteri Baginda, Saudah bin Zam‘ah Radhiallahu ‘anha yang memberikan giliran sehari semalamnya pada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha.
Beliau melakukan sedemikian bagi mendapat keredhaan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Sesungguhnya banyak lagi dapat dipetik dari sirah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang menunjukkan keadilan dalam kepimpinan Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Ini kerana Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam melihat bahawa kepimpinan ini berupa amanah Allah Subhanahu wa Ta‘ala, maka Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak mencuaikannya.
Untuk menjadi seorang pemimpin bukan merupakan perkara senang dan boleh diambil secara lewa sahaja. Ia merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang semestinya digalas dengan adil.
Semakin besar jumlah yang dipimpin, maka semakin besar amanah yang dipegang. Seorang pemimpin hendaklah meletakkan maslahah dan hal ehwal orang-orang yang dipimpinnya sebagai keutamaan.
Kerana itulah, jika seorang pemimpin melantik pembantu, maka hendaklah juga dipilih dari mereka yang benar-benar layak dan berkebolehan.
Paling utama mempunyai ruh Islam di dalam diri mereka. Kerana hanya dengan adanya nilai inilah, maka mereka juga dapat membantu atasan mereka mengurus dan mentadbir dengan jujur, telus tidak berselindung dan amanah.
Ambillah teladan dan contoh daripada kepimpinan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Kepimpinan yang penuh dengan timbang rasa, prihatin, bersifat belas dan tegas terhadap musuh, bahkan paling utama kepimpinan yang wujud dari rasa kasih sayang terhadap orang yang di bawah pimpinan Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam. Kerana dengan kasih sayang inilah, keadilan dalam sesuatu kepimpinan itu akan terlaksana dan natijahnya kesejahteraan umat manusia itu akan terpelihara sepertimana yang dikehendaki Allah Subhanahu wa Ta‘ala.