BUKIT MERTAJAM, 26 SEPT – Pasukan Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) kini mengalih tumpuan untuk memburu gelaran Terbaik Asia selain menaiki podium peringkat pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023.
Ia susulan peluang untuk merebut gelaran Raja Bukit sudah tertutup selepas Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff tidak berjaya mempertahankan gelaran berkenaan yang dirampas pelumba Tudor Pro Cycling Team Simon Pellaud yang menawan tiga zon pendakian dalam perlumbaan peringkat ketiga dari Jeli ke Baling.
Pengurus Sukan TSG, Saiful Anuar Aziz berkata pakar pecut pasukan Mohd Harrif Saleh diletakkan sebagai sandaran bagi merealisasikan misi tersebut bermula perlumbaan peringkat keempat dari Bukit Mertajam ke Meru Raya, Perak hari ini.
“Kita akan cuba buat sesuatu sekurang-kurangnya satu podium untuk Harrif, kita juga cuba sasarkan Terbaik Asia (Jersi Putih).
“Boleh dikatakan peluang untuk menyambar Jersi Polka Dot Raja Bukit sudah terlepas. Semalam tawaran mata untuk empat zon pendakian memang tinggi, jadi memang terlampau jauh antara pelumba kita dengan wakil Tudor Pro Cycling Team, Simon Pellaud,” katanya.
Saiful Anuar turut optimis peluang merebut Jersi Putih masih terbentang luas buat TSG, apabila perlumbaan peringkat kelima (Slim River-Genting Highlands), membabitkan tiga zon pendakian mencabar termasuk berstatus Hors esok.
Semalam, hasrat TSG mempertahankan gelaran Raja Bukit yang diraih pelumbanya, Muhammad Nur Aiman pada peringkat pertama Sabtu lepas terkubur selepas dirampas Pellaud.
Pellaud berjaya menawan tiga zon pendakian di Jeli, Puncak Titiwangsa dan Sri Banding pada peringkat ketiga Jeli-Baling, mengumpul 20 mata sekali gus mengungguli gelaran Raja Bukit, setakat ini. – Bernama