Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Memahami Alzheimer dan diagnosis awal

KUALA LUMPUR – Hari Alzheimer Sedunia yang jatuh pada 21 September setiap tahun memberi satu peluang untuk orang ramai agar dapat memahami penyakit Alzheimer dengan lebih mendalam, menepis tanggapan salah dan memberikan pemahaman mendalam mengenai pengesanan awal serta penjagaan berkesan.

Pakar Perunding Geriatrik Pusat Perubatan Sunway, Dr Teh Hoon Lang berkata Alzheimer merupakan sejenis demensia yang lazim berlaku dan demensia bukannya sebahagian proses penuaan yang normal, ia merupakan gangguan kompleks terhadap fungsi otak yang mampu menjejaskan kehidupan seharian.

“Penyakit Alzheimer, merupakan sejenis demensia yang lazim berlaku. Ia adalah gangguan otak progresif yang berlaku apabila terdapat pembentukan protein tidak normal dalam otak sehingga menyebabkan daya ingatan, pemikiran dan kemahiran menaakul seseorang semakin merosot. Pengesanan dan pemahaman awal adalah kunci untuk mengemudi perjalanan yang mencabar ini,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Teh berkata menurut beberapa kajian, lebih 8.5 peratus rakyat Malaysia berusia 60 tahun ke atas menghidap demensia dengan kelaziman yang lebih tinggi dalam kalangan wanita.

Keadaan neurologi ini akan semakin merosot dari semasa ke semasa tetapi bukan semua demensia disebabkan penyakit Alzheimer, terdapat penyakit lain yang turut menyumbang kepada terjadinya demensia termasuk Demensia Vaskular, Demensia Campuran, Demensia Lewy Body, penyakit Parkinson dan sebagainya, katanya.

Tanda-tanda awal demensia boleh bersifat ringan, mungkin muncul tanpa disedari dan ramai orang mungkin menganggap gejala itu sebagai sebahagian daripada proses penuaan biasa. – Gambar Freepik

Menurut Dr Teh, tanda-tanda awal demensia boleh bersifat ringan, mungkin muncul tanpa disedari dan ramai orang mungkin menganggap gejala ini sebagai sebahagian daripada proses penuaan biasa.

“Bagaimanapun, jika gejala-gejala itu mula menjejaskan kehidupan seseorang, ia boleh ditafsirkan sebagai tanda amaran demensia, “ katanya.

Beliau berkata tanda-tanda awal demensia termasuk hilang ingatan terkini seperti gagal mengingati peristiwa atau pertemuan yang baru berlaku atau sukar dalam merancang atau menyelesaikan masalah seperti mengikut resipi, menguruskan kewangan atau ubat-ubatan sendiri.

Tanda-tanda lain termasuk kesukaran menyempurnakan tugasan biasa dilakukan misalnya memasak, memandu atau menggunakan peralatan dan keliru dengan masa atau tempat seperti hilang jejak tarikh, masa atau keberadaan semasa serta mereka juga berisiko tersesat di tempat yang biasa dikunjungi.

Beliau berkata ada yang mungkin sukar memahami imej visual dan perhubungan ruang seperti masalah dalam memahami peta atau mengikut arahan serta menghadapi masalah dengan bahasa seperti sukar mencari perkataan yang betul atau menggunakan perkataan yang salah semasa berkomunikasi.

Tersalah letak sesuatu benda dan hilang keupayaan menjejaki semula langkah, daya pertimbangan yang merosot, menyisihkan diri daripada melakukan kerja atau aktiviti sosial yang pernah digemari, dan perubahan dalam emosi dan tingkah laku juga merupakan tanda-tanda awal demensia.

Menurut Dr Teh ada beberapa faktor risiko yang menyumbang kepada terjadinya demensia termasuk tidak aktif secara fizikal, merokok, mengambil alkohol secara berlebihan, kecederaan atau trauma kepala dan berpendidikan rendah semasa kehidupan awal.

Faktor-faktor risiko lain ialah seperti obesiti (terutamanya pada pertengahan umur, diabetes (terutamanya diabetes Jenis 2), kemurungan dan kurang pendengaran atau individu yang mengalami kehilangan pendengaran, katanya.

Justeru, Dr Teh menekankan kepentingan pengesanan awal penyakit ini dan menurut garis panduan, pemeriksaan rutin kognitif tidak disyorkan untuk semua orang, ia hanya disyorkan kepada golongan berisiko sahaja.

Bagaimanapun, pemeriksaan kognitif tidak 100 peratus tepat, maka adalah penting untuk mendidik orang ramai mengenai tanda-tanda amaran awal demensia,” katanya.

Menurut Dr Teh sesetengah keadaan yang seakan-akan demensia, seperti kekurangan vitamin B12 dan kekurangan hormon tiroid adalah berpotensi untuk sembuh jika dirawat awal.

“Oleh itu adalah penting untuk berjumpa doktor dan membuat penilaian dengan secepat mungkin sebab diagnosis dan rawatan awal boleh membantu mencegah atau melambatkan kerosakan otak,” katanya. – Bernama