Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 SEPT – Bagi menyemarakkan lagi Sambutan Maulidur Rasul SAW, Majlis Dikir Maulud telah diadakan di Baitur Rahmah, Istana Nurul Iman, hari ini.
Majlis telah dikepalai oleh Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz.
Hadir ke majlis itu ialah pengiran-pengiran cheteria, menteri-menteri kabinet, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, timbalan-timbalan menteri, pengiran-pengiran peranakan, pehin-pehin manteri dan manteri-manteri bertauliah serta setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah di-pimpin oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Awang Hamidon bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Abdul Hamid.
Kemudian majlis di-ikuti dengan Dikir Syarafil Anam, Dikir Assalamualaika (Bisyahrin dan Badad) dan Marhaban.
Apabila sampai pada perenggan ‘Ya Habibi’, 21 das tembakan meriam telah dilepaskan oleh Pasukan Tembak Meriam, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.
Doa Dikir kemudian dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Awang Hamidon.
Manakala itu, Doa Selamat pula dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.