KUALA LUMPUR, 27 SEPT – Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengetepikan injunksi Mareva yang diperoleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan satu anak syarikatnya, bagi menghalang beliau daripada melupuskan atau mengurangkan nilai mana-mana asetnya di Malaysia berjumlah AS$681 juta (RM3.2 bilion).
Hakim Atan Mustaffa Yussof Ahmad hari ini memutuskan bahawa injunksi itu perlu dikekalkan sehingga saman 1MDB selesai.
Injunksi Mareva ialah perintah menghalang seseorang daripada melupuskan harta sementara menunggu penyelesaian tindakan undang-undang.
Pada 8 Februari tahun lepas, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur membenarkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) bagi injunksi Mareva oleh 1MDB dan Global Diversified Investment Company Limited (dahulunya dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited) iaitu plaintif pertama dan kelima dalam saman terhadap Najib dan beberapa individu lagi.
Injunksi itu turut mengehadkan Najib mengeluarkan wang tidak melebihi RM100,000 sebulan yang diperlukan untuk perbelanjaan sara hidup serta guaman namun sekiranya jumlah lebih banyak diperlukan, beliau perlu mendapat kebenaran bertulis daripada peguam 1MDB dan Global Diversified.
Dalam keputusannya, hakim itu berkata mahkamah mendapati plaintif (1MDB dan anak syarikatnya) mempunyai kes yang boleh dipertikaikan terhadap defendan (Najib) bahawa beliau mempunyai aset dalam bidang kuasanya, yang terdapat risiko aset dipindahkan atau hilang sebelum penghakiman diperoleh.
Beliau berkata plaintif telah mematuhi Perintah 29 peraturan 1(2A) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 dalam memenuhi kewajipan untuk membuat pendedahan penuh dan telus kepada mahkamah ini pada masa mereka membuat permohonan ex-parte.
“Najib, sebagai pengarah bayangan, mempunyai tugas fidusiari yang sama seperti pengarah rasmi. Kewajipan ini termasuk bertindak dengan jujur dan tidak mendahulukan kepentingan peribadi berbanding kepentingan syarikat,” katanya sambil menambah bahawa Najib melanggar kewajipan ini dengan mengalihkan dana, terutamanya AS$681 juta daripada bon AS$3 billion ke dalam akaun peribadinya.
Hakim itu juga berkata plaintif telah menunjukkan bahawa Najib, semasa menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, melakukan penyelewengan dalam jawatan dengan menyalahgunakan kuasanya.
“Secara khusus, beliau mengarahkan diwujudkan bon 2013, yang mengakibatkan penyelewengan AS$1,592,311,599 termasuk pemindahan AS$681 juta ke akaun peribadinya. Ini dilakukan sama ada dengan niat jahat atau cuai, menjejaskan plaintif dan orang awam,” kata hakim.
Hakim itu juga menegaskan bahawa Najib sebelum ini telah memberikan akaun ‘tidak konsisten’ mengenai RM114 juta yang dirampas oleh pihak berkuasa di Pavilion Residences selepas Pilihan Raya Umum 2018 dan Najib telah mendakwa bahawa RM114 juta itu adalah untuk UMNO.
“Sekiranya dana itu benar-benar dipegang sebagai amanah untuk UMNO, defendan, yang bukan lagi presiden parti, sepatutnya mengambil langkah untuk memindahkan dana itu kepada parti. Sebaliknya, bukti menunjukkan wang itu diterima oleh wakilnya, menunjukkan jagaan peribadi dan bukannya tanggungjawab fidusiari,” katanya.
Hakim berkata Najib juga gagal membuat pendedahan penuh asetnya, seperti yang dikehendaki di bawah terma injunksi.
“Analisis kritikal terhadap kelakuannya, terutamanya mengenai kegagalan membuat pendedahan aset yang lengkap, menunjukkan secara terang-terangan mengabaikan obligasi prosedur prosiding ini,” katanya dan mengarahkan Najib membayar kos RM20,000 kepada entiti.
Lima plaintif dalam saman itu ialah 1MDB, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited.
Defendan pula ialah Najib, bekas Timbalan Ketua Pegawai Kewangan dan Pengarah Kewangan Eksekutif 1MDB Terence Geh Choh Heng, bekas peguam 1MDB Jasmine Loo Ai Swan, Pengarah Eksekutif Pembangunan Perniagaan 1MDB Casey Tang Keng Chee, bekas Pengarah Pelaburan dan Ketua Pegawai Pelaburan 1MDB Vincent Beng Huat Koh, bekas Ketua Pegawai Kewangan dan Ketua Pegawai Operasi 1MDB Radhi Mohamad.
Turut dinamakan sebagai defendan ialah Kelvin Tan Kay Jim (bekas Pengarah Pelaburan) dan Nik Faisal Ariff Kamil (bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd).