Oleh Nurdiyanah R. –
Maju atau mundur sesebuah negara itu bergantung kepada keupayaan, kesanggupan, kebolehan dan ketekunan rakyat dan penduduk dalam mencapai pembangunan negara meliputi pelbagai aspek sama ada sosial, agama, pendidikan dan juga ekonomi yang dinamik dan mapan setanding dengan negara-negara yang maju dan membangun.
Oleh yang demikian, untuk merealisasikan hasrat kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjayakan Wawasan Negara 2035 dan mempertahankan gagasan negara sebagai sebuah Negara Zikir, maka adalah menjadi tanggungjawab segenap lapisan masyarakat di negara ini untuk bersama-sama menitikberatkan amalan penjagaan kesihatan yang baik dalam kehidupan seharian.
Ini kerana masyarakat yang sihat akan membawa kemakmuran dan kesejahteraan kepada negara, di samping berpegang teguh kepada agama, serta adanya nilai keBruneian yang tinggi dan sekali gus menjadikan mereka sebagai sumber tenaga manusia yang lebih berdaya tahan dan produktif.
Apa itu demensia?
Tidak mengenali usia, jantina mahu pun keturunan, demensia merupakan sesuatu penyakit yang terjadi kepada fungsi otak atau apabila kerosakan yang terjadi pada bahagian dalam otak sehingga kemudiannya akan menjejaskan ingatan seseorang seperti tidak dapat mengenali seseorang.
Secara umumnya, dalam kalangan masyarakat Brunei kita sering disebut sebagai ‘lali’ yang mana ia sebenarnya bukanlah sebahagian daripada penuaan semula jadi bahkan ia merupakan sesuatu penyakit otak yang boleh mengakibatkan kemerosotan mental yang mengganggu aktiviti harian seseorang.
Terdapat tiga jenis utama penyakit demensia iaitu Alzheimer, Demensia Vaskular dan Lewy Bodies Dementia (LBD). Penyakit Alzheimer adalah kehi-langan ingatan pada jangka yang pendek dan juga panjang.
Demensia Vaskular pula kebiasaannya terjadi disebabkan oleh strok sehingga terjadinya kehilangan ingatan yang mengejut dan drastik.
Manakala keadaan apabila seseorang itu berhalusinasi visual seakan-akan sering melihat sesuatu atau seseorang namun hakikatnya ia tidak wujud dinamakan sebagai sejenis penyakit LBD.
Oleh kerana fungsi otak sudah berkurangan maka akan menimbulkan lagi gejala seperti mudah terjatuh atau postur yang bukan biasa dan juga mengalami kehilangan ingatan.
Antara tanda-tanda demensia itu ialah seseorang yang sering mengasingkan diri, sukar untuk menyelesaikan tugasan rutin, perubahan personaliti dan emosi, mengalami permasalahan dengan bahasa dari segi percakapan dan tulisan, keupayaan untuk menilai terjejas dan sukar untuk mengingati barang yang telah diletakkan sebelumnya.
‘Inda terlalu awal, inda terlalu lambat’
Sehubungan itu, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, dalam perutusannya baru-baru ini bersempena Sambutan Hari Demensia/ Alzheimer Sedunia yang diraikan setiap 21 September antaranya mengongsikan kira-kira 60 hingga 70 peratus kes penyakit Alzheimer adalah penyebab utama bagi demensia.
Penyakit Alzheimer adalah keadaan neurologi progresif yang menjejaskan ingatan, pemikiran dan tingkah laku yang akhirnya dapat membawa kepada kemerosotan kognitif yang teruk dan kebergantungan.
“Walaupun umur adalah faktor risiko yang paling ketara, namun penyakit Alzheimer bukanlah sebahagian daripada proses penuaan yang normal.
“Genetik, faktor gaya hidup dan kesihatan keseluruhan juga boleh menyumbang kepada perkembangan penyakit ini,” ujarnya.
Beliau turut menyatakan berdasarkan Alzheimer’s Disease International, me-ngubah suai semua faktor risiko mungkin boleh menghalang atau menangguhkan 40 peratus kes demensia.
Jelasnya lagi, statistik berkenaan membuktikan bahawa pencegahan dan pengawalan di setiap peringkat individu, masyarakat dan persekitaran mempunyai potensi yang besar dalam mengurangkan risiko demensia.
Antara faktor yang dikaitkan dengan perkembangan demensia adalah faktor semula jadi seperti peningkatan usia dan faktor yang boleh diubahsuai seperti amalan cara hidup.
“Faktor risiko tersebut mempunyai ciri-ciri yang berhubung kait dengan penyakit demensia dan ia boleh terjadi sebelum individu itu disahkan menghidap demensia secara klinikal.
Walau bagaimanapun, faktor risiko demensia adalah berbeza di antara individu,” tekannya lagi.
Pada tahun ini, sambutan membawa tema ‘Inda terlalu awal, inda terlalu lambat’ yang menekankan peranan penting dalam mengenal pasti faktor risiko demensia dan mengguna pakai langkah pengurangan risiko yang proaktif untuk menangguhkan dan mencegah terjadinya demensia dalam kalangan masyarakat.
Bersama kekal aktif
Menyentuh mengenai amalan bagi mencegah dan mengurangkan risiko demensia secara keseluruhannya, beliau menekankan bahawa, antara perkara yang boleh dilakukan untuk mengurangkan risiko demensia ialah kekal aktif dengan melakukan kegiatan fizikal sekurang-kurangnya 150 minit seminggu, mengamalkan pemakanan yang sihat seperti makanan kaya dengan bijiran, buah-buahan, sayur-sayuran, ikan dan kekacang.
Makanan tersebut dapat mencabar kecerdasan otak dan membantu membina neuron otak baharu serta mengukuhkan hubungan antara neuron.
Beliau turut menitikberatkan bagi mengurangkan risiko, mestilah sentiasa menikmati aktiviti sosial supaya dapat merangsang kapasiti otak, menjaga kesihatan jantung dan mengawal tekanan darah tinggi termasuk tidak merokok serta mendapatkan saringan kesihatan dengan lebih awal juga memainkan peranan yang penting dalam mengurangkan risiko demensia dan penyakit tidak berjangkit yang lain.
Bersama capai kesihatan sejagat
Oleh yang demikian, sebagai individu kita perlu mengetahui mengenai penyakit ini agar kita dapat membantu mereka yang mengalami penyakit ini dengan sebaik-baiknya, di samping sebagai bekalan atau persediaan kita pada masa akan datang.
Perlu diingat bahawa penyakit ini bukanlah hanya terjadi kepada golongan yang sudah lanjut usia namun ia juga boleh terjadi kepada mereka yang berusia lebih muda.
Kita tidak boleh menganggap penyakit demensia ini hanya merujuk kepada masalah yang hanya dipikul oleh Kementerian Kesihatan semata-mata dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Demensia Brunei, hakikatnya ia juga melibatkan hal ehwal kemasyarakatan atau sosial berganding bahu bersama pihak kerajaan agar mengurangkan risiko penyakit ini dalam kalangan masyarakat di negara ini dari semasa ke semasa. Apa yang penting, kita mestilah menjaga kesihatan dan perlu diingat bahawa apa yang baik untuk hati dan jantung kita adalah baik untuk kesihatan otak kita.