Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

KHEU batalkan Sijil Halal sebuah restoran

Oleh Salawati Haji Yahya –

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 SEPT – Sijil Halal dan Sijil Penyelia Halal Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) yang dikeluarkan kepada T.T. Blues Cafe and Restaurant Cawangan Gadong telah dibatalkan berkuat kuasa pada 26 September lalu.

Pembatalan berkenaan adalah berikutan penemuan satu tong 25 liter lemak khinzir (Refined Lard), 35 paket pepejal darah itik dan 58 jenis bahan makanan lain yang diragui kehalalannya yang dipercayai dibawa masuk ke Negara Brunei Darussalam untuk digunakan sebagai bahan masakan di dalam restoran berkenaan.

Penemuan bahan-bahan tidak halal tersebut merupakan satu perlanggaran yang dipandang serius, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) memaklumkan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Kenyataan menyatakan, dapatan itu adalah hasil pemantauan rutin yang dijalankan oleh pegawai-pegawai penguat kuasa Bahagian Kawalan Makanan Halal (BKMH) ke atas pemegang pemegang Sijil Halal dan Permit pada 26 September lalu.

Kes tersebut disiasat di bawah Bab 37 Perintah Sijil Halal dan Label Halal, 2005 yang mana jika sabit kesalahan akan dikenakan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda tidak melebihi $8,000 atau kedua-duanya sekali.

Tong yang berisi lemak khinzir, pepejal darah itik dan bahan makanan lain yang diragui kehalalannya yang ditemui oleh penguat kuasa BKMH semasa pemantauan rutin baru-baru ini. – Gambar serahan KHEU

Sehubungan itu, pemegang-pemegang Sijil Halal dan Permit MUIB di negara ini adalah diperingatkan agar sentiasa mematuhi peraturan-peraturan dan peruntukan-peruntukan di bawah Perintah Sijil Halal dan Label Halal, 2005 termasuk kehendak-kehendak dan syarat-syarat pensijilan halal yang ditetapkan oleh MUIB.

KHEU juga mengingatkan dan menegaskan kepada pemegang-pemegang Sijil Halal dan Permit supaya sentiasa memastikan bahan-bahan makanan hendaklah yang halal dan suci, tidak bercampur dengan yang tidak halal dan meragukan.

Perbuatan penipuan dan perlanggaran syarat-syarat terhadap Sijil Halal dan Permit yang diberikan oleh MUIB merupakan perbuatan yang tidak sepatutnya berlaku semata-mata demi menjaga kesejahteraan rakyat dan penduduk khususnya masyarakat Islam di negara ini.

Pegawai-pegawai penguat kuasa BKMH, Jabatan Hal Ehwal Syariah juga akan sentiasa menjalankan operasi dan pemantauan dari semasa ke semasa untuk memastikan tiada pelanggaran dibuat terhadap peruntukan undang-undang, kehendak-kehendak dan syarat-syarat Pensijilan Halal.

Di samping itu, KHEU turut mengalu-alukan orang ramai yang ingin membuat aduan serta perkongsian maklumat mengenai penggunaan atau penjualan produk-produk tidak halal di tempat-tempat perniagaan.

Aduan bolehlah dibuat terus ke Jabatan Hal Ehwal Syariah melalui BKMH dengan menghubungi talian hotline 7166222 atau mana-mana pejabat BKMH di setiap daerah.