Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 SEPT – Keunikan tumbuhan paku-pakis yang terdapat di Negara Brunei Darussalam telah diketengahkan dalam buku Ferntastic Brunei dan poster Ferns of Brunei Darussalam yang dilancarkan oleh Universiti Brunei Darussalam (UBD) pada majlis yang berlangsung di Simpur Cafe, UBD, hari ini.
Pelancaran buku dan poster yang merupakan projek kerjasama antara UBD dan Biodiversity and Natural History Society (BruWILD) itu telah disempurnakan oleh Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle.
Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Perhutanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Hajah Noralinda binti Haji Ibrahim; Presiden BruWILD, Liaw Lin Ji; ahli-ahli BruWILD serta pegawai-pegawai kanan UBD.
Pengarah Institut Penyelidikan Biodiversiti dan Alam Sekitar (IBER), Dr Hussein Taha dalam kata alu-aluannya menyatakan seperti banyak spesies yang lain, paku-pakis juga berhadapan tekanan hebat daripada perubahan kepada habitatnya.
Oleh itu, motivasi dalam penghasilan buku itu, jelasnya, datang daripada kenyataan yang paku-pakis kurang dibuat kajian dan laporan mengenainya juga terhad.
Dalam hubungan itu, kumpulan penulis dari UBD dan BruWILD telah mengumpulkan pelbagai jenis paku-pakis yang terdapat di Brunei dengan harapan ia dapat meningkatkan kesedaran dan menyediakan titik rujukan bagi kumpulan tumbuh-tumbuhan berkenaan.
Beliau juga menyatakan perasaan gembira dengan penerbitan buku Ferntastic Brunei yang mengetengahkan pelbagai jenis paku-pakis yang terdapat di negara ini dan hubungan etnobotani yang dikongsi oleh kita dan tumbuh-tumbuhan berkenaan.
Paku-pakis merupakan tumbuh-tumbuhan yang tidak berbunga dan dikenal pasti melalui sori (unit pembiakan) yang terdapat di bawah daunnya di mana seperti dengan kebanyakan tumbuh-tumbuhan lain, manusia bergantung pada paku-pakis bagi pelbagai kegunaan seperti makanan dan ubat-ubatan.
Pada masa ini, Brunei mencatatkan 300 spesies paku-pakis daripada 37 keluarga dan 116 genera di mana ia meliputi kira-kira 23 peratus diversiti paku-pakis di Borneo.