Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Kebakaran: 100 maut, 150 cedera

QARAQOSH, IRAQ, 27 SEPT – Sekurang-kurangnya 100 orang dilaporkan terkorban dalam tragedi kebakaran dahsyat di sebuah dewan perkahwinan yang sesak di Iraq, kata pegawai setempat hari ini, sambil menunjuk ke arah bunga api dalam rumah sebagai kemungkinan punca kebakaran yang memaksa orang ramai panik untuk berlari ke pintu keluar.

Lebih 150 orang cedera akibat melecur, mengalami sesak nafas akibat asap atau tersepit semasa berhimpit-himpit untuk melarikan diri dari dewan resepsi.

Dewan tersebut kini hanya tinggal serpihan dengan perabot yang hangus dan bahagian siling yang sebahagiannya runtuh.

“Awalnya, saya fikir ada letupan,” kata Martin Idriss, 19, yang bekerja di dapur ketika kebakaran berlaku pada petang kelmarin di lokasi majlis tersebut di bandar utara Qaraqosh yang kebanyakan penduduknya beragama Kristian.

“Api mula menjilat seluruh dewan,” katanya.

“Semasa saya cuba masuk semula, saya melihat mayat tiga orang kanak-kanak yang rentung,” tambahnya, sambil menyatakan bahawa pintu kecemasan di dewan tersebut nampaknya tidak mencukupi untuk ratusan tetamu yang berusaha untuk melarikan diri.

Laporan awal dan rakaman video dalam talian yang belum disahkan menunjukkan bahawa bunga api dalam rumah itu yang membakar hiasan siling adalah punca pertama sebelum api merebak dan membakar bahan pembinaan yang amat mudah terbakar.

Pihak berkuasa kesihatan melaporkan bahawa ‘sekurang-kurangnya 100 orang meninggal dunia dan lebih 150 orang cedera dalam kebakaran di dewan perkahwinan di Hamdaniyah,’ yang juga dikenali seperti nama bandar tersebut.

Kebanyakan mangsa yang cedera mengalami luka melecur, kekurangan oksigen dan kecederaan akibat berhimpit semasa cuba melarikan diri. – AFP

Foto menunjukkan orang ramai berkumpul di tapak kebakaran di daerah Hamdaniya, wilayah Nineveh, Iraq, kelmarin. – AP