Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Kanada gesa rakyatnya ‘berwaspada’ kunjungi India

TRENTON, KANADA, 26 SEPT – Kanada kelmarin memberi amaran kepada pelancong supaya ‘berwaspada’ jika pergi ke India kerana hubungan kedua-dua negara semakin merosot susulan kes pembunuhan seorang pemimpin Sikh-Kanada.

“Dalam konteks perkembangan terkini di Kanada dan di India, terdapat seruan untuk melakukan protes dan beberapa sentimen negatif terhadap Kanada di media sosial,” agensi Anadolu memetik kemas kini nasihat perjalanan kerajaan Kanada. ‘Sila terus berwaspada dan berhati-hati.’

Ketegangan meningkat antara kedua-dua negara selepas Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau mendakwa secara terbuka minggu lalu bahawa India terlibat dalam pembunuhan seorang pemimpin Sikh-Kanada di luar kuil Sikh di Surrey, British Columbia pada Jun.

India menegaskan bahawa Hardeep Singh Nijjar adalah seorang pengganas yang menjadi sebahagian daripada gerakan militan yang menuntut sebuah negara Sikh merdeka di Khalistan di wilayah Punjab India.

Trudeau berkata terdapat ‘dakwaan yang boleh dipercayai’ bahawa New Delhi terlibat dalam pembunuhan yang dilakukan oleh dua lelaki bertopeng. Tiada tangkapan dibuat setakat ini.

Trudeau turut meminta India bekerjasama dalam penyiasatan kes itu. – Bernama

Gambar Freepik