Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OGOS – Penyakit kardiovaskular adalah penyebab kematian kedua tertinggi selepas kanser di Negara Brunei Darussalam.
Pada 2022 sahaja, sebanyak 669 kematian disebabkan oleh penyakit kardiovaskular. Bagi peratus kematian pra matang iaitu kematian sebelum umur 70 tahun, disebabkan penyakit kardiovaskular, 29 peratus kematian telah dicatatkan pada 2022 iaitu peningkatan sebanyak 3 peratus jika dibandingkan pada 2012.
Perkara tersebut dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam perutusan Sempena Sambutan Hari Jantung Sedunia 2023.
Manakala, pada 2022 juga, jumlah individu yang dimasukkan ke hospital dengan didiagnosis penyakit kardiovaskular ialah seramai 1,702 orang.
“Peningkatan jumlah individu yang menghidap penyakit kardiovaskular dari tahun ke tahun sangat membimbangkan apatah lagi pada dekad kebelakangan ini penyakit tersebut menyerang kumpulan umur yang lebih muda sehingga menyebabkan beban ekonomi dan sosial kepada masyarakat.
“Isu global ini perlu ditangani dengan lebih awal memandangkan kebanyakan faktor risiko yang menyumbang kepada penyakit kardiovaskular boleh dicegah.”
Beliau menyatakan bahawa terdapat beberapa faktor risiko yang menyumbang kepada penyakit kardiovaskular termasuklah faktor-faktor risiko tingkah laku seperti penggunaan tembakau, amalan makanan tidak sihat seperti pengambilan lemak dan garam yang berlebihan, dan gaya hidup yang tidak aktif.
Manakala, faktor lain iaitu risiko biologi seperti obesiti, tekanan darah tinggi, tahap kolesterol tinggi dan diabetes juga dapat dicegah atau dirawat, jika ia dikesan dengan lebih awal.
Terdahulu, Yang Berhormat Dato (Gambar – Kementerian Kesihatan) berkata bahawa penyakit kardiovaskular termasuk penyakit jantung dan strok adalah penyebab utama kematian di seluruh dunia.
Menurut Persekutuan Jantung Sedunia, keadaan yang menjejaskan jantung atau saluran darah seperti serangan jantung, strok dan kegagalan jantung telah membunuh lebih daripada 20.5 juta orang setiap tahun.
Pada 2019, dianggarkan sebanyak 17.9 juta orang meninggal dunia akibat penyakit kardiovaskular yang mana 85 peratus daripadanya adalah disebabkan oleh serangan jantung dan strok.
Beliau berkata lagi, setiap tahun, seluruh dunia menyambut Hari Jantung Sedunia sebagai salah satu usaha untuk mewujudkan kesedaran tentang kepentingan menjaga jantung yang sihat melalui pelbagai aktiviti global.
Tahun ini, Sambutan Hari Jantung Sedunia disambut dengan tema ‘Gunakan Jantung, Kenali Jantung’ di mana ia memberikan tumpuan kepada menggunakan emoji jantung untuk mempromosikan tema dan kepentingan Hari Jantung Sedunia.
Persekutuan Jantung Sedunia percaya bahawa emoji jantung adalah salah satu bentuk komunikasi yang paling popular pada masa ini yang mudah untuk difahami dan ingati serta mampu mengambil perhatian orang ramai. Sementara itu, mengenali jantung dan kepentingannya supaya setiap individu menghargai, melindungi dan menyayanginya dengan lebih baik.
Tema kenali jantung memfokuskan kepada mengenali jantung sendiri dan bagaimana cara untuk menjaga kesihatan jantung iaitu mengetahui ciri-ciri jantung yang sihat, mengenali gejala-gejala penyakit jantung, meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mengenai penyakit kardiovaskular dan langkah-langkah utama bagi pencegahannya serta mematuhi nasihat doktor dalam mengambil ubat-ubatan bagi mengurangkan risiko penyakit jantung.