BANGKOK, 28 SEPT – Mahkamah Thailand hari ini menggugurkan tuduhan membunuh ke atas empat pegawai taman negara berhubung kehilangan seorang aktivis alam sekitar hampir sedekad lalu, tetapi memenjarakan seorang atas kesalahan ringan.
Ia adalah perubahan terbaru dalam saga undang-undang yang telah lama berjalan selepas pemimpin etnik Karen, Porlajee Rakchongcharoen, yang lebih dikenali dengan nama samarannya Billy, hilang pada 2014 ketika menjalankan tuntutan mahkamah yang mendakwa pegawai-pegawai telah memusnahkan rumah di Taman Negara Kaeng Krachan.
Siasatan tertumpu pada ketua taman ketika itu Chaiwat Limlikitaksorn, yang merupakan orang terakhir yang melihat Billy hidup dan yang didakwa atas pembunuhan tahun lalu berikutan bantahan selepas pertuduhan pada mulanya digugurkan pada 2020.
Tetapi hari ini, Mahkamah Jenayah Rasuah Pusat enggan mendakwa mana-mana pegawai atas kesalahan membunuh, membebaskan tiga orang secara langsung dan menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun kepada Chaiwat kerana melakukan penyelewengan.
Mahkamah berkata tiada cukup bukti untuk meneruskan pertuduhan bunuh itu.
Susulan keputusan itu, peguam Pornpen Khongkachonkiet, yang mewakili keluarga Billy, berkata mereka akan membuat rayuan.
“Sama ada dia mati atau hidup, kehilangan secara paksa adalah pelanggaran hak asasi manusia,” katanya kepada pemberita.
“Ini memberi impak yang menyeluruh kepada saudara mara dan keluarga Billy.”
Di luar mahkamah, isteri aktivis itu Pinnapa Preuksapan menitiskan air mata.
“Saya telah berjuang selama hampir 10 tahun kerana saya tidak dapat mengetahui ke mana Billy pergi,” katanya kepada AFP.
“Dan hari ini, saya masih tidak tahu jawapannya.”
Chaiwat dipercayai orang terakhir yang melihat Billy hidup selepas aktivis itu ditahan kerana didapati mengumpul madu secara haram. – AFP