Oleh Raz AS –
Antara salah satu tarikan aktiviti memancing adalah hubungan komuniti dengan para penggemarnya, di mana masing-masing suka berkongsi keghairahan dalam menjalani aktiviti tersebut.
Tidak percaya, cubalah pergi memancing di mana-mana. Sekiranya ada penggemar aktiviti memancing yang kebetulan berada di situ, tidak kiralah dengan tujuan yang sama atau sekadar melintas sahaja, pasti akan ditegurnya.
Topik perbualan setentunya tidak lari daripada aktiviti tersebut. Bagi yang ringan mulut, perbualan mungkin menyentuh kisah dan pengalaman, peralatan, teknik dan sebagainya.
Jika tidak berbicara panjang pun habis-habis yang ditanya “ada makannya?”
Dalam menjaga keharmonian hubungan ini, setiap pemancing memainkan peranan masing-masing.
Barangkali tidak semua yang selesa untuk memulakan perbualan atau menegur orang tidak dikenali, sudah lumrah sifat manusia ada yang bersifat ekstrovert, ada yang introvert, malah ada juga yang anti-sosial.
Walau bagaimanapun, perbezaan sifat bukanlah alasan untuk kita berkelakuan sewenang-wenangnya sehingga menimbulkan kemarahan dan perbalahan dengan pemancing lain.
Jika mulut terasa berat untuk dibuka dan tangan terasa kaku untuk melambai menyapa cukuplah sekadar dengan tidak melanggar etika-etika ketika memancing.
Antara etika yang perlu dijaga ketika memancing, yang pertama, adalah menghormati ruang pemancing lain. Apa yang dimaksudkan dengan menghormati ruang, apabila sampai ke sesuatu tempat memancing dan mendapati ada pemancing lain sudah berada di sana terlebih dahulu, janganlah ‘selarah-larahnya’ melabuhkan pancing berdekatan dengannya.
Sebolehnya, jaga jarak antara kita dengan mereka dan sekiranya tempat tersebut mempunyai ruangan yang terhad, mintalah izin terlebih dahulu dan setelah mendapat kebenaran barulah ikut ‘menyalat’. Meskipun tempat memancing tersebut tidak bergeran namun perbuatan ‘menyalati’ pancing orang lain boleh menimbulkan perasaan kurang senang dan mungkin sahaja mengakibatkan perbalahan sekiranya tali pancing kita berpintal dengan orang lain.
Bagi yang memancing berperahu pula, mempunyai lebih banyak kebebasan daripada orang yang memancing di darat, jauhilah kawasan tebing di mana terdapatnya orang yang memancing di sana. Kawasan tempat mereka melabuh umpan sudah terhad sekiranya perahu awda berlabuh terlalu dekat semakin terhadlah tempat mereka melabuhkan umpan.
Penulis sendiri pernah menyaksikan beberapa kejadian di mana pemancing-pemancing di darat yang marah melemparkan pancing mereka ke arah perahu yang berlabuh terlalu dekat dengan mereka sehingga batu ladung menghempas perahu tersebut, ada juga yang melintas hampir terkena kepala. Perbuatan sedemikian tidaklah baik tetapi difahami dari mana kemarahan tersebut berpunca.
Kedua, tidak membuang sampah merata-rata. Bukan sahaja daripada bahan-bahan sintetik seperti sampah plastik yang boleh mengakibatkan pencemaran, kerosakan alam sekitar, bahkan juga bahan-bahan organik seperti lebihan umpan, sisa makanan, ikan yang ditinggal mati dan lain-lain, yang boleh mengakibatkan bau busuk dan mengundang kehadiran binatang-binatang buas dan berbisa.
Persekitaran yang kotor dan berbau akan menjejaskan keselesaan orang lain. Lebih-lebih lagi jika kita menumpang memancing di struktur binaan kerajaan seperti jeti ataupun pondok ‘perambatan’ orang lain. Janganlah disebabkan kita yang ‘mihir’, akhirnya semua pemancing dilarang memancing di sana.
Ketiga, jagalah etika sesama pemancing yang menggunakan perahu. Perlahankan perahu seboleh mungkin ketika melintas perahu yang berlabuh bagi mengelakkan mereka keombakan, lebih-lebih lagi jika di kawasan sungai yang kecil dan perahu yang kita gunakan jauh lebih besar daripada mereka. Ombak bukan sahaja boleh menjejaskan kawasan mereka memancing dengan menakutkan ikan yang ada di sana, ia juga boleh mengganggu aktiviti memancing mereka bahkan juga boleh membawa risiko bahaya kepada perahu-perahu kecil.