KATHMANDU – Bindu Chand, pelajar Tahun 10 di Sekolah Menengah Ganesh, di kawasan 6, Perbandaran Luar Bandar Sigas, di daerah Baitadi, terpaksa meredah sungai Nwaghari dengan mempertaruhkan nyawanya untuk pergi ke sekolah dan pulang ke rumah.
Semua pakaiannya basah semasa menyeberangi sungai. Sudah menjadi rutinnya sepanjang hari di dalam kelas dengan pakaian yang basah.
“Ini agak sukar ketika saya datang haid kerana tuala wanita menjadi basah semasa melintasi sungai. Saya terpaksa berada di dalam kelas sepanjang hari dengan pakaian yang basah. Saya hanya akan menukar pakaian setelah sampai ke rumah selepas sekolah,” kata Bindu. Dia mengadu bahawa dia sering merasa kesejukan dan mengalami sakit perut, mungkin disebabkan oleh pakaian basah.
Seramai 40 pelajar dari kawasan 6 kampung Sagada tidak memiliki alternatif selain meredah sungai untuk sampai ke Sekolah Menengah Ganesh. Pelajar sekolah seperti Bindu terpaksa mempertaruhkan nyawa mereka kerana tiada jambatan gantung di kawasan tersebut. Banjir besar telah melanda sungai dan memusnahkan jambatan gantung yang menghubungkan Bhaunelipatal Sigas-7, ke Pang Babina Aadarsha, Perbandaran Luar Bandar 6 Doti.
Di Sagada, terdapat sebuah sekolah rendah yang menjalankan kelas sehingga tahun tiga.
Sekolah Menengah Ganesh, yang ditubuhkan pada tahun 1975, adalah sekolah terdekat bagi pelajar penempatan Sagada untuk meneruskan pelajaran.
Seorang atau dua pelajar tidak dapat meredah sungai secara sendirian kerana arus deras. Laxmi Chand, warga tempatan dari Sagada dan seorang guru di Sekolah Menengah Ganesh, mempunyai tanggungjawab tambahan untuk membantu pelajar menyeberangi sungai.
Dia menunggu sehingga semua pelajar dari kampung itu berkumpul di tebing sungai. Kemudian pelajar berpegangan tangan dan melintasi sungai. Para pelajar tidak pergi ke sekolah sekiranya Laxmi terpaksa mengambil cuti.
“Kami perlu menyeberangi sungai Nwaghari empat kali untuk sampai ke sekolah. Terdapat jambatan di dua tempat manakala kami perlu mengharungi di dua tempat lain,” kata Laxmi.
Menurut Laxmi, terdapat laluan alternatif untuk sampai ke sekolah itu melalui tebing Maurabhir tetapi ia lebih berbahaya. Seseorang tidak boleh menyeberangi sungai semasa pergi ke sekolah melalui Maurabhir, tetapi laluan kakinya sempit, sukar, licin dan menakutkan. Ia mengambil masa setengah jam lebih untuk sampai ke sekolah.
Menggunakan laluan sungai, ia mengambil masa satu jam dari Sagada untuk sampai ke Sekolah Menengah Ganesh.
Menurut penduduk tempatan, dua orang maut selepas terjatuh dari tebing di sepanjang tebing Maurabhir manakala tiga orang turut dihanyutkan oleh sungai Nwaghari sejak beberapa tahun lalu.
“Kita tidak boleh menyeberangi sungai satu persatu. Cik (Laxmi) memimpin kami dengan berpegangan tangan. Jika kami tergelincir semasa menyeberangi sungai sendirian, kami akan terjatuh ke Seti,” kata Anjali BK, pelajar Tahun Lapan.
Sungai Nwaghari mengalir ke sungai Seti. Apabila sungai dinaiki air, pelajar tidak mempunyai pilihan selain untuk tidak pergi ke sekolah.
“Saya terlepas beberapa kelas kerana kami tidak dapat menyeberangi sungai disebabkan hujan lebat. Tidak ada pilihan selain duduk di rumah jika hujan lebat menyebabkan banjir di sungai,” kata Misan Chand, pelajar Tahun Sembilan.
Penduduk tempatan dari kawasan 5, 6 dan 7 Perbandaran Luar Bandar Sigas, mengunjungi Bazar Deura Perbandaran Luar Bandar Kedarsyu, di daerah Bajhang, yang berdekatan untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan dan membeli barang keperluan. Lebih 250 isi rumah di kampung Nwaghar, Sagada dan Bagali perlu menyeberangi sungai Nwaghari untuk ke Bazar Deura.
“Setiap musim sejuk, sebuah jambatan kayu dibina. Namun, jambatan tersebut dihanyutkan oleh banjir semasa musim monsun,” kata Kalu Singh Saud, ketua sekolah di Sekolah Menengah Ganesh. Menurutnya, jambatan telah dibina empat tahun yang lalu dengan kos sebanyak Rs400,000 yang disediakan oleh pihak perbandaran, tetapi jambatan itu musnah dalam masa setahun.
Kalu Singh juga menyebut bahawa mereka telah berulang kali memohon kepada kerajaan tempatan, negeri dan persekutuan untuk membina jambatan di kawasan tersebut, tetapi permohonan mereka tidak diendahkan.
Perbandaran luar bandar, bagaimanapun, mempunyai pandangan yang berbeza.
“Juruteknik mencadangkan pembinaan jambatan tidak boleh dilakukan di kawasan itu kerana terdapat tebing di kedua-dua belah sungai. Kami sedang membuat persiapan untuk memindahkan sekolah ke Lekam,” kata Hari Singh Dhami, Pengerusi Perbandaran Luar Bandar Sigas. – ANN/The Kathmandu Post