Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – Bersempena dengan ulang tahun pembukaan Masjid Omar ‘Ali Saifuddien yang ke-65 tahun, ahli-ahli jawatankuasa takmir masjid berkenaan telah mengadakan Majlis Tahlil dan Doa Arwah di Kubah Makam Diraja, hari ini.
Majlis khusus bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit dan Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim.
Pada majlis itu, bacaan Yasin dan Doa Tahlil telah dipimpin oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran bin Haji Kuncang manakala Doa Khas 65 Tahun telah dibacakan oleh Begawan Mudim Haji Amran bin Haji Mohd Salleh.
Sementara itu, kelmarin, Takmir Masjid Omar ‘Ali Saifuddien turut mengadakan Majlis Dikir Maulud dan Doa Kesyukuran bagi mengenang dan memperingati perasmian pembukaan masjid berkenaan.