Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – Pengangkutan maritim kekal sebagai tulang belakang sistem perdagangan antarabangsa, menggerakkan kira-kira 80 peratus kargo dunia mengikut volum, selain ia juga adalah cara yang paling terjamin, paling selamat dan cekap tenaga untuk menghantar barang dan orang.
Di samping itu, perkapalan antarabangsa juga memainkan peranan penting dalam rangkaian logistik di seluruh dunia dan berfungsi sebagai komponen utama bagi banyak pihak rantaian bekalan industri, memastikan aliran lancar kargo dan komoditi merentasi sempadan antarabangsa.
Bagaimanapun, potensi kesan pencemaran berpunca daripada aktiviti maritim mungkin jauh lebih teruk, daripada pelbagai aspek seperti tumpahan minyak yang memusnahkan ekosistem marin kepada pelepasan yang menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara dan perubahan iklim.
Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, dan Pengerusi Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (PBMP) Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha (gambar) menjelaskan perkara tersebut dalam perutusan sempena Hari Maritim Sedunia, hari ini.
Hari Maritim Sedunia tahun ini MARPOL AT 50 Out Commitment Goes On mengiktiraf peranan penting yang dimainkan oleh aktiviti maritim dalam ekonomi global dan pembangunan mampan negara.
Katanya, “Sejarah panjang Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) dalam melindungi alam sekitar daripada kesan aktiviti maritim yang disebabkan oleh operasi kapal atau tanpa sengaja melalui satu set keperluan dan piawaian yang mantap”.
“Seperti yang kita fikirkan sepanjang lima dekad lalu, kami mengakui kemajuan besar yang dicapai secara kolektif dalam kalangan semua pihak berkepen-tingan yang berkaitan, termasuk perkapalan antarabangsa dan komuniti maritim dalam mengurangkan pencemaran maritim dan memupuk budaya industri perkapalan yang mampan alam sekitar,” jelasnya.
“Negara Brunei Darussalam khususnya, mengulangi sokongannya untuk merealisasikan SDG14 yang merupakan sebahagian daripada kerja IMO yang bertujuan untuk memastikan penghantaran selamat, terjamin dan cekap di lautan yang bersih”.
Selama lebih tiga dekad, komitmen Negara Brunei Darussalam untuk menegakkan prinsip MARPOL telah terbukti melalui penyertaannya dalam pelbagai MARPOL Annexes di mana MARPOL sebagai satu set peraturan yang mesti dipatuhi oleh kapal-kapal untuk memastikan laut bersih dan selamat.