Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

BCF 2023: FESTIVAL KANDUNGAN DIGITAL BRUNEI

Pemenang Drama Terbaik – I want to be #FEMES oleh Lailatul Shazanas Studio.

Terokai impak Festival Kandungan Brunei (BCF) terhadap landskap penyiaran tempatan

BCF yang dihasratkan untuk menonjolkan bakat pencipta kandungan, penerbit, pengarah dan pembuat filem Brunei yang berlangsung awal September lalu telah diakhiri dengan acara gilang-gemilang Malam Anugerah BCF 2023 baru-baru ini.

Dihoskan setiap tahun oleh Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI), BCF berfungsi sebagai pemangkin kepada inovasi dan kreativiti sebagai salah satu peranan AITI dalam memperkembangkan industri penyiaran.

Acara tersebut bukan saja meraikan pencapaian pencipta kandungan tetapi juga untuk memupuk pembangunan kandungan digital berkualiti tinggi dengan daya maju komersial, sesuai untuk disiarkan dalam televisyen, penyedia Over-the-Top (OTT) seperti RTBGo, Progresif Media, serta media sosial dan mana-mana platform digital yang lain.

BCF: PLATFORM UNTUK KEMAJUAN

Bagi Anugerah BCF 2023 itu, sebanyak 131 penyertaan telah diterima ketika ia dibukakan bermula 15 Mei hingga 23 Jun dengan hanya 96 penyertaan telah terpilih setelah memenuhi kelayakan dan kriteria pertandingan.

Manakala, pada 8 hingga 10 September, Tayangan dan Pameran BCF 2023 telah menampilkan tayangan umum filem pendek, drama, iklan dan video muzik yang dihasilkan oleh syarikat penerbit tempatan, pelajar dan individu yang bersaing untuk pengiktirafan anugerah tersebut.

Sepanjang acara tiga hari itu, pakar-pakar dan perwakilan industri berkongsi pengetahuan dan pengalaman berharga yang dibina sepanjang kerjaya mereka.

Pada 12 September, acara terbesar Malam Anugerah BCF 2023 mencapai kemuncaknya sekali gus menandakan penutup perayaan untuk acara besar ini.

Pengurus Kanan AITI, Rosnani Haji Md Yussof berkata sambutan BCF tahun ini amat positif dan menggalakkan, dengan mencatatkan peningkatan ketara dalam jumlah peserta berbanding tahun lepas.

“Ini menunjukkan adanya permintaan dalam mengiktiraf dan mempromosikan kandungan tempatan dengan majoriti pencipta kandungan tempatan menantikan acara festival kandungan tahun depan.”

Beliau turut berkongsi bagaimana Tayangan dan Pameran itu membuka mata warga tempatan dan antarabangsa yang kagum dengan kualiti kandungan tempatan yang cukup baik serta tahap keupayaan syarikat pengeluarannya.

“Penonton kekal memainkan peranan penting untuk menyokong industri kandungan tempatan agar ia berkembang di tanah air sendiri sekali gus menembusi peringkat antarabangsa.”

Atas sebab ini, menurutnya lagi, AITI memperkenalkan portal KontenKitani.bn, platform dalam talian yang direka khusus sebagai ruang untuk pencipta kandungan tempatan mempamerkan portfolio dan kepakaran mereka.

 “Brunei mempunyai banyak bakat dan minda kreatif yang belum diterokai dan boleh dibimbing untuk mencipta kandungan berkualiti tinggi yang sangat bernilai.

“Selain itu, negara kita menawarkan banyak lokasi penggambaran yang mengagumkan yang boleh digunakan oleh pencipta kandungan tempatan.”

Pengurus Kanan itu seterusnya mengesahkan komitmen AITI untuk memperkukuhkan lagi industri kandungan tempatan.

Komitmen ini melibatkan peningkatan pendedahan kepada festival filem antarabangsa, menonjolkan bakat melalui program pembinaan kapasiti dan menjalin rangkaian bagi penerbitan bersama dengan platform serta saluran antarabangsa.

PELUANG DAN PEMAHAMAN BAHARU

Semasa Tayangan dan Pameran BCF 2023, pelbagai syarikat produksi dan institusi pengajian tinggi telah mempamerkan kandungan, perkhidmatan dan bakat mereka.

Salah satu pempamer adalah Oddbox Media and Communications, sebuah syarikat penerbitan dan agensi kreatif serba boleh, yang mempromosikan keupayaannya melalui pelbagai aktiviti.

Ini termasuk pembentangan portfolio, uji bakat dan ulasan portfolio untuk kreatif. Peserta menerima ganjaran ketika menerokai permainan AR/VR, projek flipbook dan kuiz pengetahuan kreatif.

Dekan The Mahakarya Institute of the Arts Asia, Dr Alex Fischer bersama Dr Yong Liu dari Universiti Brunei Darussalam (UBD) turut hadir pada acara tersebut untuk menyampaikan ceramah mengenai kajian berasaskan data pertama bagi memahami dan meneliti keberkesanan penerbitan filem dari segi ekonomi dan sosial sepanjang dekad yang lalu.

“Penerbitan filem bentuk panjang seperti filem cereka, merupakan ‘enjin ekonomi’ bagi kebanyakan industri filem kerana bajet pengeluaran yang besar, peluang pekerjaan yang besar dan infrastruktur pameran yang sangat maju.”

Beliau menambah di sebalik peningkatan yang ketara dalam penerbitan filem cereka di Brunei, hanya terdapat sedikit bukti yang boleh menunjukkan produksi filem panjang tempatan berfungsi sebagai ‘enjin ekonomi’ kerana 95 peratus daripada semua filem tempatan, dalam sejarah filem Brunei, telah diterbitkan sepanjang tahun 2013 hingga 2023.

PILIHAN TERBAIK DAN POTENSI MENINGKAT

Juri BCF 2023 terdiri daripada wakil Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Radio Televisyen Brunei (RTB), Progresif Media, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), UBD dan pakar industri tempatan.

Ketua Pasukan Media Progresif Media dan ahli juri, Olivia Ong berkata penyertaan untuk festival tahun ini adalah bukti industri penciptaan kandungan yang semakin berkembang di Brunei, dengan wajah dan bakat baharu dalam dan di luar skrin.

Ketua Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Kreatif dan Teknikal FINAS, Kamaruza’ain Abdul Kadir iaitu salah seorang daripada juri berkata penyertaan tahun ini mempunyai daya tarikan naratif tersendiri namun masih terdapat beberapa aspek yang perlu diperbaiki.

Menurut Kamaruza’ain, untuk memupuk pertumbuhan industri penciptaan kandungan tempatan, adalah penting bagi senario tempatan untuk memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan.

Ini, katanya boleh dicapai melalui pendedahan kepada teknologi penerbitan terkini, menawarkan latihan kemahiran dan mewujudkan kerjasama strategik bersama negara-negara luar untuk mempromosi dan memperkenalkan kandungan kreatif Brunei.

Ketua juri, Penerbit Filem dan TV, Nurain Abdullah percaya dalam memajukan lagi industri, pihak kerajaan memerlukan lebih banyak platform yang konsisten untuk pertukaran idea, pengalaman dan pemindahan ilmu yang membina.

“Sebagai pencipta kandungan, kita perlu menonton kandungan yang dihasilkan oleh pencipta lain juga, sama ada tempatan, serantau mahupun antarabangsa. Supaya kami boleh menilai kandungan kami sendiri, di mana kami berada sekarang dan bagaimana kami boleh menambah baik.”

KUMPULAN BINTANG BAHARU

Beberapa pemenang BCF 2023 turut menyampaikan rasa terima kasih dan penghargaan mereka kepada AITI kerana menganjurkan acara tersebut dan menyediakan platform penting untuk pencipta kandungan tempatan menyerlahkan potensi mereka.

Pemenang Anugerah Filem Pendek Terbaik, Wardah Hakimah binti Haji Gulihana bagi filem pertamanya, ‘Cinta dan Harapan’, menyatakan penghargaannya kepada AITI, kerana memberi dirinya peluang untuk menerbitkan dan mencipta filem pendek sendiri setelah menyertai Pertandingan Video Pendek Pembuat Kandungan Muda yang pernah dianjurkan oleh AITI pada tahun 2020.

Sementara itu, Muhammad Adam Chong, yang memenangi Anugerah Video Muzik Terbaik untuk lagu ‘Leka’ oleh Fauzan dan Fathin AMJ, berkongsi bahawa motivasinya untuk mencipta kandungan sebenarnya untuk mendidik dan meninggalkan kesan berpanjangan yang disemai dengan nilai-nilai Islam.

Pemenang Pelakon Lelaki Terbaik, Shafiee Mostar pula berasa amat terharu selepas menerima anugerah tersebut dan merakamkan ucapan terima kasih bukan sahaja kepada AITI malah rakan-rakan dan mentor yang telah memberikan tunjuk ajar dalam bidang seni persembahan.

Bagi Pelakon Wanita Terbaik, Nabilah Hamid, dia mengakui pengiktirafan yang diberikan oleh BCF menunjukkan sejauh mana peningkatannya sebagai seorang pelakon.

Berkongsi pandangannya kepada pencipta kandungan tempatan yang bercita-cita tinggi, pemenang untuk Drama Terbaik, Iskandar Karim dengan ‘I want to be #FEMES’ menggesa pencipta tempatan untuk ‘terus menceritakan kisah yang diminati’.

“Terus belajar. Berbuat baik sesama sendiri. Ini bukannya satu perlumbaan. Fokus pada kualiti, bukan kuantiti. Berusaha keras. Bersabar. Melabur pada masa dan diri awda sendiri, ianya akan berkembang maju.”

Pemenang Filem Pendek Terbaik – Cinta dan Harapan oleh Wardah Hakimah binti Haji Gulihana.
Pemenang Video Muzik Terbaik – ‘Leka’ oleh Fauzan & Fathin AMJ Muhammad Adam Chong.
Tayangan Awam penyertaan BCF.
Sesi juri BCF 2023.
Pembentangan oleh Dr Alex Fischer, Dekan Mahakarya Institute of the Arts Asia dan Dr Yong Liu dari Universiti Brunei Darussalam.
Pempamer berinteraksi bersama orang ramai.