Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Banjir: 4 lagi pegawai ditahan di Libya

BENGHAZI, 29 SEPT – Ketua pendakwa raya Libya telah mengarahkan penahanan empat lagi pegawai, menjadikan jumlah mereka yang ditahan seramai 12 orang sebagai sebahagian daripada siasatan berhubung banjir bulan ini yang mengorbankan ribuan nyawa.

Banjir yang disebabkan oleh Ribut Daniel yang melanda timur Libya pada 10 September lalu, menyebabkan sekurang-kurangnya 3,893 orang terkorban dan ribuan lagi hilang.

Bandar tepi pantai Derna adalah yang paling terjejas dalam banjir kilat itu, yang disifatkan oleh saksi seperti tsunami.

Banjir itu telah merobohkan dua empangan dan menenggelami seluruh kawasan kediaman hingga ke Laut Mediterranean.

Keempat-empat suspek tambahan, termasuk dua ahli majlis tempatan Derna, ditangkap kerana disyaki terlibat dalam ‘pengurusan yang buruk terhadap tugas pentadbiran dan kewangan yang diberikan kepada mereka, menurut kenyataan yang dikeluarkan pada tengah malam kelmarin oleh pejabat pendakwa raya di Tripoli, barat Libya.

Pada Isnin lalu, pejabat ini memerintahkan penangkapan lapan pegawai, termasuk datuk bandar Derna yang telah digantung tugas selepas banjir berlaku.

Peguam Negara Libya, Al-Seddik al-Sour, adalah anggota pentadbiran yang diiktiraf secara antarabangsa di bahagian barat negara itu. Pegawai-pegawai yang lain, di bahagian timur yang dilanda banjir, mendapat sokongan daripada panglima tentera, Khalifa Haftar.

Pihak berkuasa di timur Libya hari ini mengumumkan bahawa mereka akan memulakan bayaran pampasan kepada individu yang terjejas oleh bencana itu, yang menurut agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu telah menjejaskan lebih 43,000 orang. – AFP

Gambar Freepik