Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Bali guna cukai pelancong untuk pengurusan sisa, pemeliharaan budaya

BALI, 28 SEPT – Pentadbiran Bali berkata dana yang dikutip daripada cukai sebanyak Rp 150,000 (AS$10) seorang yang akan dikenakan daripada semua pelancong asing mulai tahun depan akan digunakan untuk program pengurusan sisa dan pemeliharaan budaya.

“Kami akan menggunakan hasil daripada cukai pelancong untuk Bali sendiri, seperti untuk pengurusan sisa dan program pemeliharaan budaya,” kata pemangku gabenor Bali, Mahendra Jaya semasa pertemuan dengan setiausaha Kementerian Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Ni Wayan Giri Adnyani di Denpasar pada Isnin lepas.

Mahendra berkata, kedua-dua program itu dipilih kerana aktiviti pelancongan di Bali telah mengakibatkan sampah bertimbun di pulau peranginan itu.

“Jika kita tidak dapat mengendalikan sisa dengan baik, ia akan menyebabkan bau busuk dan merosakkan alam sekitar,” katanya.

Tambahnya, jika sisa itu terus terkumpul ia akan menyusahkan pelancong yang melawat Bali.

Pemeliharaan budaya merupakan satu lagi bahagian penting dalam pelancongan Bali, kata Mahendra, kerana budaya Bali adalah tulang belakang pelancongan pulau itu.

Dengan penambahbaikan pengurusan sisa dan program pemeliharaan budaya kerana tambahan pembiayaan daripada cukai pelancong, Bali boleh mengekalkan statusnya sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia untuk persekitaran dan budayanya, katanya.

Giri Adnyani berkata kementerian menyokong keputusan Bali untuk mengenakan cukai pelancong dan kementerian akan membantu melaksanakan dasar itu secepat mungkin.

“Ini supaya pelancong tidak terkejut apabila cukai itu dikenakan,” kata Giri Adnyani.

Beliau juga menyatakan sokongan terhadap rancangan pentadbiran wilayah Bali untuk menggunakan hasil daripada cukai untuk program pengurusan sisa dan pemeliharaan budaya. – ANN/The Jakarta Post

– Freepik